Rencana

Rejim di Malaysia bakal tumbang – Oleh Liew Chin Tong

Antara lain, yang bakal menyumbang kepada kejatuhan rejim Barisan Nasional di Malaysia dalam pilihanraya umum akan datang adalah golongan pengundi muda, kadar urbanisasi yang tinggi, akses internet yang kian meningkat dan usia rejim itu sendiri menduduki tampuk kuasa.

Ada banyak sebab untuk komuniti antarabangsa menyedari akan hakikat ini, dan bersedia untuk suatu perubahan kejatuhan rejim dalam negara ini buat julung-julung kalinya sejak ia merdeka pada tahun 1957.

Setelah pihak pemerintah mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya 8 Mac 2008, negara telah memasuki suasana kempen berpanjangan dan kekal sedemikian sejak itu. Memandangkan Perlembagaan Malaysia menetapkan Parlimen dibubarkan pada 28 April 2013 kerana tamatnya mandat lima tahun yang diperolehi, maka pilihan raya terpaksa diumumkan tidak lama lagi.

Memang benar kerajaan memenangi 140 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat manakala pihak oposisi cuma berjaya mendapat 82 kerusi. Akan tetapi jika diteliti, keputusan itu menunjukkan jurang undi diantara kedua-dua gabungan semakin kecil.

Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan sebenarnya cuma memenangi 51.4% undi manakala pembangkang memperolehi 48.6%.. Daripada 7.9 juta undi, BN dan tiga parti pembangkang nasional dipisahkan hanya dengan lebih kurang 313,509 undi.

Sehingga penghujung Jun 2012, di dalam daftar pengundi terdapat 12.9 juta rakyat Malaysia. 2.5 juta – kira-kira 20% – adalah mereka yang mengundi buat kali pertama; dan merekalah yang bakal menentukan keputusan pilihan raya.

Koalisi 13 parti pemerintah – BN – akan menonjolkan pencapaian-pencapaian lalu dalam kempen dan bermain dengan kehendak status quo sementara gabungan pembangkang, Pakatan Rakyat, berikrar untuk menambah baik pentadbiran negara melalui perubahan dasar yang radikal.

Status quo bagaimanapun tidak mungkin memberikan impak kepada demografi yang mirip dengan kebangkitan Arab: 48% rakyat Malaysia berumur 25 tahun dan 70% berumur bawah 40 tahun (walaupun tidak semuanya adalah pengundi). BN, terutama parti utamanya, United Malays National Organization (UMNO) telah sekian lama bergantung kepada undi kawasan luar bandar.

Oleh kerana itu mereka mempunyai sebab untuk bimbang memandangkan sebanyak 70% rakyat Malaysia sekarang tinggal di kawasan bandar berbanding 11% pada tahun 1957 dan 35% pada 1980.

Golongan muda dan penduduk bandar pula sangat galak dengan internet. Dengan 17.5 juta pengguna internet, kadar penggunaan internet Malaysia adalah 61.7% daripada populasinya dan 81% daripada kawasan padat huni. Selain itu, Malaysia juga merupakan salah satu negara paling aktif menggunakan Facebook dengan 12 juta pengguna, meletakkannya pada tempat ke-19 tertinggi.

Akses mudah kepada maklumat alternatif telah menjejaskan keberkesanan kawalan media perdana yang diamalkan kerajaan, baik melalui prosedur perlesenan, tapisan atau pemilikan partisan.

BN telah memeritah Malaysia sejak penampilan awalnya sebagai Perikatan memenangi pilihan raya untuk kerajaan-sendiri di bawah British pada tahun 1955. Ia kini adalah parti yang paling lama memerintah di dunia. Rejim komunis di Korea Utara, China dan Vietnam yang tidak diundi adalah diantara rejim yang memerintah dengan tempoh yang panjang.

Tanda-tanda negatif kesan daripada jangka hayat politik yang panjang semuanya kelihatan jelas di mata para pengundi yang semakin pintar. Pada dasarnya, bukan sahaja kerajaan telah membuatkan kumpulan-kumpulan etnik bukan Melayu rasa terpinggir melalui politik perkauman, rasuah yang menjadi-jadi dan ketidakadilan ekenomi intra-etnik. Tetapi turut menjauhkan pengundi-pengundi Melayu.

BN pernah seketika mempamerkan dirinya sebagai kuasa pertengahan dalam populasi yang bersifat perkauman. Bagaimanapun,  UMNO mula bertukar haluan ke ‘kanan’ dalam retorik dan tindakan pada 2005, ia mula kehilangan sokongan kaum Cina dan India. Pada 2008, sebilangan besar kaum Melayu kecewa dengan rasuah dan kronisme, dan akhirnya turut sama mengundi menentang kerajaan.

Rasa keterpisahan ini bukan sahaja tidak hilang pada tahun-tahun berikutnya. Tetapi sebaliknya, semakin banyak kumpulan yang menunjukkan penentangan terhadap kerajaan pusat. Kumpulan Kadazan Dusun Murut di Sabah bangkit dan sangat kritis terhadap cara kerajaan menguruskan skandal pemberian kewarganegaraan demi meraih undi yang telah lama berlarutan.

Skandal itu dikatakan telah membuka ruang pada UMNO untuk membina sokongan di negeri itu.
Strategis UMNO, dengan menggunakan akhbar yang dikawal parti tersebut, Utusan Malaysia, bergabung pula dengan kumpulan berhaluan kanan Perkasa, berkerja keras untuk menghalang kemerosotan sokongan daripada orang Melayu. Dan mereka melakukan apa sahaja untuk menggambarkan parti itu sebagai jaguh sebenar orang Melayu berbanding parti dan pemimpin Melayu pembangkang. Setakat ini kelihatan cubaan itu mengasingkan pengundi dari kelas pertengahan.

Keseluruhannya buat masa ini, apa yang diidamkan oleh rakyat Malaysia adalah keadilan ekonomi dan kerajaan yang lebih bersih serta terbuka. Namun, apa yang Perdana Menteri Najib Razak berterusan lakukan adalah ‘pembelian undi kecil-kecilan’ dengan memberikan wang tunai kepada kumpulan-kumpulan sasar sedangkan apa yang sangat diperlukan oleh negara adalah reformasi yang menyeluruh.

Terlalu lama di tampuk kekuasaan juga telah membuatkan BN mencipta musuh-musuhnya sendiri. Ramai pemimpin di dalam pakatan pembangkang dahulunya adalah daripada parti pemerintah itu sendiri, termasuklah mantan Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim.

Pengalaman mereka di dalam kerajaan mententeramkan pengundi bahawa pembangkang bersedia untuk melaksanakan tugasnya dengan cekap, sementara jaringan peribadi mereka di dalam sistem pemerintahan telah membekalkan mereka dengan maklunat berharga dan memahami sistem yang sebelum ini mengetepikan pembangkang.

Gabungan pembangkang sebelum ini (pada tahun 1990 dan 1999) telah ditubuhkan dengan tergesa-gesa ketika pilihan raya dan berpecah dengan mudah tidak lama selepas itu. Oleh itu  gabungan alternatif yang telah diuji lebih daripada empat tahun, melaluinya telah memperoleh  pengalaman penting mentadbir empat daripada 13 buah negeri merupakan faktor yang menarik dan kritikal.

Ketika semua kelebihan sedia ada memihak kepada BN tidak hilang sepenuhnya dan semua itu akan terus digunakan sepenuhnya sewaktu pilihan raya yang akan datang, faktor-faktor yang bergerak menentang pemerintah sedia ada juga telah menjadi semakin kuat, dan kelihatan terdapatnya kemungkinan kerajaan lama akan diundi keluar. – Roketkini.com