Berita

Watak Hamlet dalam sosok Najib undang tandatanya

KUALA LUMPUR, 4 OKTOBER: Perdana Menteri Najib Razak disifatkan sebagai memegang watak Hamlet dari karya Shakespeare dengan terus bertanya, “To Be or Not To Be” apabila beliau dilihat teragak-agak untuk membubarkan parlimen sejak tahun lalu biarpun pada masa yang sama beliau tidak segan silu bercakap besar.

Pada masa yang sama, Najib tanpa rasa malu memuja-muji pemerintahan UMNO-BN yang dapat dilihat dalam 14 perenggan akhir daripada 174 perenggan ucapan belanjawannya dibacakan seolah-olah ceramah pilihan raya.

Menurut Ketua Parlimen DAP Kebangsaan Lim Kit Siang sewaktu membahaskan usul belanjawan tersebut di Parlimen, keadaan yang berlaku ke atas Najib sendiri mungkin disebabkan beliau tidak berkeyakinan terhadap Belanjawan 2013 walaupun kerajaan memberikan gula-gula untuk setiap pengundi yang kononnya dapat memulihkan kepercayaan rakyat terhadapnya.

“Najib mengejutkan Ahli-Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia yang mendengar pembentangan itu apabila enam perenggan pertama ucapan Belanjawan 2013 merayu rakyat Malaysia untuk terus menyokong kerajaan Umno/BN sambil melemparkan tuduhan-tuduhan dan sindiran-sindiran terhadap Pakatan Rakyat.

Dalam ucapannya Najib dipetik berkata Dalam kesimpulan pembentangan Belanjawan 2013 beliau, Najib berkata, “Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan. Secara berlapang dada, dalam sebuah negara yang demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka juga ada hak namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan siapa akan mendapat mandat melalui peti undi.”

“Walaupun Perdana Menteri mengakui hak parti-parti politik di dalam sistem demokrasi untuk diberikan peluang membentuk Kerajaan seterusnya dan rakyatlah penentu mutlak siapa akan diberikan mandat melalui peti undi, tetapi beliau gagal menjanjikan dengan jelas dalam memastikan peralihan kuasa yang aman untuk pertama kali dalam sejarah sekiranya itulah keputusan dari peti undi .”

Ulas Kit Siang, Belanjawan 2013 ini membuktikan bahawa Najib menunjukkan bahawa beliau kurang berkeyakinan dan diburu kebimbangan bahawa ucapan belanjawannya yang keempat ini mungkin belanjawan terakhir UMNO-BN di Parlimen dalam sejarah negara. – Roketkini.com