Budaya

Seni Budaya : Chelsea atau United? Oleh Razan Rose

Lahir dalam keluarga kelas menengah, membuatkan Jean Jacques Rousseau bersyukur dengan status yang dimilikinya. Seorang komposer musik yang hidup pada kurun ke-17 dan sangat berbangga dengan kerakyatan Geneva-nya, Rousseau merasakan tanggungjawab selaku seorang warga negara itu adalah seperti suatu penghormatan yang dianugerahkan oleh negara dan tidak semua orang dapat menikmatinya.

Dan Rousseau punya kata-kata terkenal, “Manusia itu dilahirkan bebas, tapi di mana-mana mereka dirantai”.

Yang membedakan manusia dengan haiwan bukan lah dari segi kebolehan mereka untuk bertutur. Bahkan, haiwan juga punya bahasa pertuturan masing-masing.

Justeru, apa yang membedakan manusia dengan haiwan? Nah, itu lah kebebasan yang dipunyai manusia untuk membuat pilihan. Kebolehan untuk mempertimbangkan segala macam situasi dan membuat pilihan bersesuaian dengan keperluan semasa.

Manusia mampu mengatur dan meningkatkan taraf hidup mereka melalui pilihan-pilihan yang mereka ambil. Tapi, kebebasan untuk membuat pilihan itu terkadang akan datang dan menggigit kembali manusia dalam bentuk yang sangat mengujakan. Tanpa mereka sedari.

Penjara pemodal dan agamanya yang nakal

Menginjak ke zaman pasca-moden, manusia terpenjara dalam neraka yang berupa syurga. Di pintu gerbang ‘penjara’ yang maha besar itu terpampang susunan abjad yang membentuk patah “kapitalisme”. Daripada persaingan-persaingan yang tak kunjung habis di dalamnya, terlahir semacam satu agama baru yang dinamakan konsumerisme.  Agama yang menawarkan pilihan yang tak terhingga dan dianuti oleh sekian ramai umat manusia hari ini.

Konsumerisme, digerakkan oleh barisan paderi dan imam yang tidak berbentuk tapi bergerak secara nyata. Dakwahnya ditaburkan melalui simbol-simbol serta rasukan-rasukan halus yang bisa meledakkan keinginan manusia. Di sini, kita melihat bagaimana manusia itu dipengaruhi oleh media sehingga timbulnya rasa ghairah terhadap jenama-jenama yang berulang kali dimainkan. Dan manusia secara langsung dimanipulasi untuk merayakan material/kebendaan sekaligus menukar manusia itu sendiri menjadi humanoid kaku yang terpinggir.

Dapat dilihat juga bahwa kebebasan untuk membuat pilihan itu sebenarnya satu rantaian yang membelenggu. Manusia dikonstruk oleh media untuk memilih. Contoh yang boleh diambil ialah melalui iklan-iklan yang dimainkan setiap masa di kaca televisyen. Manusia cenderung untuk memilih jenama yang dirasakan lebih bagus dan menepati citarasa mereka seperti memilih jenama Adidas berbanding Nike. Hal ini mungkin disebabkan orang tersebut merupakan penyokong pasukan Chelsea yang ditaja oleh Adidas atau mungkin juga orang tersebut membenci pasukan Manchester United yang ditaja oleh Nike. Baik pilihannya Adidas mahupun Nike, keduanya merupakan hasil daripada pengaruh media yang memanipulasi.

Jika dalam membuat pilihan pun manusia itu diatur, jadi di mana letaknya keberadaan manusia dalam naratif kebebasan? Sepertinya tidak ada. Manusia, yang pada lahirnya bebas, itu terbelenggu apabila dia mula mempunyai kesedaran rasional dalam membuat pilihan. Bahkan, rasional itu sendiri merupakan suatu bentuk kongkongan yang menjerat. Dan jerat yang terpasang itu penuh dengan pilihan yang telah diatur.

Malapetaka konsumerisme

Konsumerisme, seolah hadir dengan seribu satu petaka. Dahsyatnya ia sehinggakan mampu menarik keluar sisi-sisi gelap manusia dan melahap mereka menjadi tidak rasional. Hal ini jelas dapat dilihat apabila manusia itu sendiri bukan membeli dengan tujuan memenuhi keperluan asasi tapi mereka membeli untuk memenuhi kehendak yang tak kunjung habis.

Kompleks membeli belah yang bertaburan di merata tempat, tidak hanya sekadar tempat untuk membeli keperluan. Malah, lebih parah lagi, ia sepertinya  telah menjadi berhala penyembahan bagi mereka yang dirasuk keinginan yang tak terpegang. Nah, lihat saja manusia-manusia yang mencari ketenangan dengan membeli belah. Ketagihan untuk berbelanja yang sangat dahsyat hinggakan mereka seolah menjadi gila dalam timbunan material. Mereka ini, dalam istilah Inggeris juga dikenali sebagai shopaholic.

Bebas yang tidak bebas. Pilihan-pilihan yang digerakkan oleh permainan media menyebabkan konsumerisme mengakari masyarakat serta membenihkan kegilaan baru pasca-moden. Agama baru yang melahirkan ramai fanatik dan ekstremis yang melurut jauh ke lembah keterasingan. Melahirkan manusia gila. – Roketkini.com