Rencana

Teks dan Pendidikan Politik Oleh: Arjuna Dharmawijaya

Foto wikipidea

Ranjau Sepanjang Jalan. Tajuk sahaja sudah membujuk. Ini bukan novel cinta picisan mat gadis-gadis, tapi ini terjemahan berbahasa Melayu buat sebuah buku yang ditulis oleh seorang pemikir-pejuang Islam – Sayyid Qutb. Diambil dari terjemahan asalnya berbahasa Arab – ‘Ma’alim Fit Thariq’. Buku ini pernah seketika dilacak gerakan Islam seluruh dunia di era revivalisme Islam sekitar 1970an. Dan, nama Sayyid Qutb bukanlah asing buat para Islamis termasuklah aktivis-aktivis Islam di Malaysia. Beliau merupakan tokoh yang dijulang sebagai simbol ‘daulah islamiyyah’ sehinggakan di akhir hayatnya, dia dihukum bunuh para militer Mesir.

Teks. Barangkali, teks penting sebagai agen untuk menggerakkan kesedaran massa.Teks memberikan harapan pada idealisme.Dan, dasar idealisme sangat mustahak. Ini bertujuan menggerakkan sekalian aktivis dan ahli parti berusaha lebih keras untuk mengejar cita-cita bersama. Di sini, kita dapat lihat bahawa politik bukanlah kerja meraih undi semata-mata.

Tugas berpolitik – yang lebih mendasar bukan untuk memenangi pilihanraya, tetapi menyampaikan pendidikan. Misalnya, dalam sesebuah parti politik – pendidikan tentang dasar dan manifesto sesuatu parti politik itu perlu disebarkan dan difahami oleh ahlinya. Itupun gerak-kerja politik yang strategik untuk jangka masa panjang.

Politik, dari satu sudut, adalah perebutan kekuasaan. Ini tidak dapat dinafikan. Namun, bagaimana kita (warga politik) dapat mengisi idealisme perjuangan yang diwar-warkan tanpa pendidikan politik yang berkesan.Pendidikan politik mengajar rakyat supaya lebih peka pada isu-isu yang mendasar.

Jadi, gimik murahan dan drama tak harus lagi dijadikan bidak politik untuk bergerak. Ini adalah zaman dimana segenap lapisan masyarakat untuk memahami politik secara sihat. Jadi, jalan terbaik adalah memprakasai pendidikan tentang ‘politik’ itu sendiri.

Pendidikan dan teks merupakan teras dalam mencitrakan politik baru. Saban hari – istilah ini semakin popular disebut-sebut orang.  Maka, pertanyaan kita seterusnya adalah apa itu politik baru? Singkatannya mungkin lebih mesra pembaca jikalau dieja sebagai ‘polit-baru’.

Baiklah. Politik baru – menurut apa yang aku faham, adalah zaman dimana politik bukan lagi agen pembodohan yang tipikal. Politik baru bermaksud politik yang diisi dengan pendidikan dan juga teks. Setiap parti politik yang ditubuhkan, ia pasti akan punya kerangka ideologi dan dasar pandangnya yang tersendiri.

Misalnya, Democratic Action Party (DAP) adalah parti politik kiri-tengah yang membawa jalur demokrasi sosial. Teksnya pula – Deklarasi Setapak 1967.
Maka, pertanyaan lanjut lagi – berapa ramaikah ahli politik atau aktivis politik DAP khususnya benar-benar memahami ideologi dan teks Deklarasi Setapak ini kalau tanpa pendidikan politik yang baik?

Aku pasti, pendidikan berpolitik ini mendorong mereka untuk lebih berprinsip untuk menghormati dasar parti. Di situlah, kita dapat membina nilai-nilai berpolitik yang sihat dan beretika. Tambahan pula, teks dapat menguatkan lagi akar idealisme perjuangan supaya ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.

Di sini, kita dapat belajar bagaimana gerakan Islam dapat melahirkan golongan Islamis yang teguh pada akar perjuangan mereka. Semuanya bermula daripada pedagogi dan pendidikan mereka pada idealisme teks. Sekitar 80an, isu Islamisasi dalam kalangan politik negara meninggalkan kesan yang besar.

Sehinggakan, Mahathir Muhammad sendiri terpaksa mereka slogan ‘Islam Moderat’ bagi memenangi semula hati rakyat. Dalam mana-mana gerakan Islam, model pendidikan politik yang digelar ‘usrah’ dapat menjana pemikiran para Islamis ini dengan aspirasi politik Islam mereka. Mungkin, ada di antara kita berbeza pandangan dan pendapat dengan pegangan dogmatik pada ideologi. Tetapi, kesungguhan pendidikan politik dalam kalangan mereka setidaknya dapat mencetus minat kita untuk kembali mengkaji teks-teks pemikiran dan ideologi supaya kita dapat bersama-sama membangun inti pada politik baru ini.

Bukan sahaja gerakan Islam, malah setiap gerakan politik-ideologi seluruh dunia sekalipun, pasti ada model pendidikan politik yang menarik. Manakan, ada parti politik yang dibangunkan tanpa ideologi dan pemikiran, mustahil  bukan. UMNO juga punya ideologi. ‘Perkauman’ juga sebuah ideologi bukan.

Dalam menuju ‘politik baru’, pendidikan pada teks perlu diwarnai dengan semangat dan motivasi yang dapat membakar aktivis-aktivisnya untuk terus berjuang di medan politik secara berprinsip dan kekal pada idealisme. Langkah pertama, pemerkasaan pendidikan yang dibangunkan dengan teks-teks yang baik adalah pemula dalam memaknai ‘Polit-Baru’ (Politik Baru).

Jika, langkah ini tidak disusun secara mendasar, selamalah kita terperangkap dengan politik pembodohan yang masih terus berulang sehingga sekarang.

Kalaulah, Sayyid Qutb dan Abu A’ala Al Mawdodi dapat mencetuskan kebangkitan ideologi ‘Islamisme’ secara global sehingga ke hari ini hanya dengan teks dan pendidikan pemikiran mereka, Pakatan Rakyat mengapa tidak?-roketkini.com