Berita

Jom ke Konsert BERSIH 8 T Sabtu ini

KUALA LUMPUR 10 OKTOBER: Seluruh rakyat Malaysia yang patriotik dijemput untuk bersama memeriahkan Konsert BERSIH 8T yang akan menggegarkan negara pada hari Sabtu 13 Oktober 2012 bermula dari jam 4 petang hingga 11.30 malam bertempat di Stadium Kelana Jaya Selangor.

Konsert julung kalinya anjuran BERSIH ini bakal membariskan lebih dari lima belas artis popular terdiri dari berkumpulan dan solo termasuk deklamasi sajak istimewa dari Pak Samad dan sebuah lagu istimewa dari ahli Jawatankuasa BERSIH 2.0.

Antara artis yang akan menjayakan konsert ini ialah  Ito, Julian Mokhtar & the Gang, Republic of Brickfields, Dum Dum Tak, Hui Se De Dai, Ray Cheong, Nik Jidan, Ksatriya, The Garrison, Soul Saviors, Redemption, Libang Libu, Robertson, Michelle Hoo, Atama, Maharajah Commission dan ramai lagi.

Menurut AJK Sekratariat penganjur saudara Mandeep ketika dihubungi, BERSIH 8 T ini bertujuan memperingatkan pihak kerajaan dan SPR untuk memenuhi kesemua lapan tuntutan BERSIH 2.0 bagi sebuah pilihanraya yang adil, bebas dan telus.

“Sudah dua kali kita turun pada 709 dan 428, dan tujuh daripada lapan tuntutan Gabungan Pilihan BERSIH dimasukkan dalam 22 syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) untuk penambahbaikan pilihan raya tetapi nampaknya kerajaan tidak serius.”

Selain itu katanya, konsert ini juga akan membuat kutipan derma sebanyak RM5 setiap bagi hadirin yang hadir sebagai sumbangan untuk menampung kos penganjuran dan aktiviti seumpamanya.

Memberi respon ketika dihubungi, Setiausaha kerja DAP Selangor Lau Weng San berkata, ini merupakan sebuah himpunan bukan sahaja untuk muda mudi tetapi untuk segenap lapisan masyarakat.

“Konsert BERSIH 8 T ini menunjukkan mesej tuntutan BERSIH dibawa ke tahap yang lebih tinggi, kreatif dan meluas.”

Beliau yang juga akan turut memeriahkan konsert pada Sabtu ini menambah, anjuran sebegini mampu meningkatkan lagi kesedaran terutamanya generasi muda terhadap kesedaran berpolitik yang lebih baik.”

Selain persembahan konsert, pelbagai lagi acara menarik akan dijalankan seperti  Dinding kartun oleh Zunar & Kumpulan Kartunis Independen, Bazaar kesenian dan pameran oleh NGO-NGO, Street Drummers dan Tayangan filem ‘Jatuh’ dan ‘Tears of Malaysia’

Perhimpunan BERSIH 2.0 April lalu telah mencipta sejarah apabila segenap lapisan masyarakat Malaysia pelbagai kaum dan agamaturun ke jalanan secara aman bagi mendesak kerajaan melalu SPR membersihkan sistem pilihanraya negara ini dengan lapan tuntutan.

Pun begitu, sehingga kini cuma satu sahaja tuntutan dipenuhi iaitu penggunaan dakwat kekal dan selebihnya tidak dipedulikan.

Bagi memperingati dan membawa mesej BERSIH ke ruang yang lebih luas, rakyat dijemput beramai-ramai untuk memeriahkan konsert Bersih 8T di Stadium Kelana Jaya Sabtu ini 13 Oktober 2012.-roketkini.com