Berita

Tuduhan ‘Doa Malaysia Negara Kristian’ berniat jahat : Wong Ho Leng

KUALA LUMPUR, 10 OKTOBER – DAP Sarawak hari ini menempelak tuduhan tidak berasas bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa semalam yang mendakwa majlis kesyukuran anjuran DAP yang diadakan di Sarawak tahun lalu telah mendoakan agar “Malaysia menjadi negara Kristian”.

Tuduhan itu disifatkan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng sebagai tuduhan tidak benar, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab.

“Ia memperlihatkan satu lagi tindakan untuk menaburkan benih kebencian.”

“Adalah sukar dipercayai Nasha membuat tuduhan tetapi tidak dapat menyatakan dimanakah ‘doa’ tersebut dibuat.”

Menurut Wong yang juga Ahli Parlimen Sibu, majlis kesyukuran itu dibuat untuk meraikan kemenangan besar DAP dalam pilihanraya negeri tahun lalu dimana ia dihadiri oleh pimpinan  DAP yang beragama Buddha termasuk menjemput pimpinan tempatan dari PKR dan PAS.

Semalam, Nasharuddin mendakwa kerana kemenangan besar DAP di Sarawak, sudah ada doa supaya Malaysia jadi negara Kristian tetapi tidak menyatakan dengan jelas dimana ia dilakukan.

Nasha berkata demikian dalam pembentangan kertas kerjanya di program Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke-4: Seminar Dakwah Nasional anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia.-roketkini.com