Rencana

Jalan Tengah Malaysia

Petikan ulasan saudara Anthony Loke, Pengarah Pendidikan Politik DAP serta Ketua Pemuda DAP.mengenai gagasan Jalan Tengah Malaysia. – Buku Berjudul Malaysia Milik Kita Bersama, 45 tahun perjuangan Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Pada 17 Januari 2010, semasa menyampaikan ucapan dasarnya dalam Persidangan Kebangsaan DAP, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah mengemukakan satu ungkapan baru yang dinamakan “Middle Malaysia” atau dalam terjemahan Bahasa Malaysia sebagai “Malaysia Pertengahan”.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan ungkapan ini?

Adakah ia merupakan satu ideologi baru atau sama saja seperti slogan sebutan Najib “Satu Malaysia”?

Ungkapan seperti ini sememangnya akan menimbulkan pelbagai polemik. Sudah tentu ada yang akan membuat pelbagai takrifan, ada yang akan menyokong dan semestinya ada  juga pengkritiknya.

Bagi saya, apabila sesuatu ucapan dalam perhimpunan politik dapat menimbulkan perbahasan di kalangan umum, ia merupakan manifestasi bahawa ramai yang mengambil berat tentang perkembangan parti tersebut dan haluan yang ingin diambilnya untuk mendapat sokongan rakyat.

Salah satu rencana yang mencuri perhatian saya ialah dari kolumnis terkenal Akhbar Sin Chew, Tay Tian Yan (rencananya dalam Bahasa Mandarin yang diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris di The Malaysian Insider). Beliau menyamakan “Malaysia Pertengahan” yang dilontarkan oleh Guan Eng dengan “The Third Way” atau “Jalan Ketiga”.

“The Third Way” merupakan satu idea yang diilhamkan oleh pakar sosiologi terkenal di Britain yang bernama Anthony Giddens. Ia merujuk kepada jalan pertengahan di antara sistem kapitalisme dan sosialisme.

Beliau mencadangkan satu sistem pentadbiran yang menyerapkan ciri-ciri ekonomi pasaran dan unsur-unsur kompetitif dalam sistem kapitalisme dengan nilai-nilai keadilan sosial dan kesamarataan yang dititikberatkan dalam sistem sosialisme.

Dengan kata lain, sistem ini membenarkan ekonomi pasaran berkembang tetapi pada masa yang sama, kerajaan memainkan peranan untuk mengawal pasaran dan memastikan keseimbangan dalam masyarakat terjamin.

Idea “The Third Way” ini sebenarnya tercetus daripada ideologi sosial demokrasi yang merupakan salah satu cabang sosialime. Parti yang berpegang kepada prinsip sosial demokrasi sering dikaitkan sebagai golongan “kiri pertengahan” atau “center left”.

Sebenarnya banyak parti pemerintah atau parti utama di negara Barat pada hari ini mendukung ideologi sosial demokrasi atau “The Third Way”. Parti Buruh di United Kingdom dan Australia, serta Parti Sosial Demokrat di Sweden dan German merupakan antara contoh parti-parti yang mempunyai pengaruh yang besar.

DAP merupakan parti yang mendukung sosial demokrasi sebagai ideologi dan asas perjuangannya. Di peringkat antarabangsa, terdapat satu gabungan parti-parti sosialis dan sosial demokrat yang dinamakan sebagai “Socialist International” dan DAP merupakan salah satu ahlinya. Justeru, apabila Guan Eng melontarkan ungkapan “Malaysia Pertengahan”, ia sebenarnya tidak lari daripada ideologi asas DAP.

Ia merupakan satu ciri penting dalam perjuangan politik DAP. Ungkapan ini merupakan satu langkah strategik untuk mengambarkan DAP sebagai sebuah parti yang sederhana yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat, lebih-lebih lagi pengundi pertengahan atau mereka yang berada di atas pagar.

Golongan rakyat ini boleh ditakrifkan sebagai mereka yang tidak mempunyai “ketaatan politik” kepada mana-mana parti samada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Undi mereka bukan dipengaruhi oleh simbol parti tetapi berdasarkan senario politik semasa, isu yang diperjuangkan oleh sesuatu parti dan melihat kepada dasar parti mana yang dapat membawa negara ke arah kemajuan dan kemakmuran. Golongan inilah yang bakal menjadi penentu kepada siapa yang menduduki Putrajaya dalam pilihanraya umum.

Namun, konteks yang ingin dipertengahkan oleh DAP melalui “Malaysia Pertengahan” adalah lebih luas daripada pengertian ciri-ciri pentadbiran ekonomi semata-mata. Kata kunci dalam konteks “Malaysia Pertengahan” ialah kesederhanaan.

Dalam menangani sebarang isu dan dasar yang memberi impak kepada masyarakat umum, prinsip kesederhanaan perlu dititikberatkan.

Dalam kata-kata Guan Eng, “Malaysia Pertengahan” mengutamakan “kerjasama daripada konflik”, konsultasi daripada konfrontasi” dan sebuah masyarakat yang inklusif bukannya eksklusif. Ini merupakan prinsip-prinsip utama dan pendekatan utama yang perlu dibawa oleh DAP dan Pakatan Rakyat. Sekiranya pendekatan dan prinsip ini dapat diterjemahkan dalam erti kata yang sebenarnya, tidak mustahil majoriti rakyat Malaysia akan menyokong agenda perubahan yang ingin dibawa oleh Pakatan Rakyat.

DAP sering dilabelkan oleh UMNO sebagai sebuah parti cauvinis yang ekstrem, sebuah parti orang Cina yang ingin menguasai segala-galanya di bumi Malaysia dan parti yang agendanya anti-Melayu dan anti-Islam.

Sememangnya label-label ini menyebabkan ramai pengundi di kalangan masyarakat Melayu yang berwaspada terhadap DAP dan ramai yang menjauhinya selama ini. Walaupun DAP tidak pernah berfikiran sedemikian, namun ketiadaan peluang untuk DAP melaksanakan dasarnya selama ini tidak memungkinkan parti tersebut dapat mengubah persepsi negatif masyarakat Melayu terhadapnya. Kemunculan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat khususnya di Pulau Pinang membuka satu lembaran baru buat DAP.

Satu contoh yang baik ialah pendekatan yang diambil dalam menangani isu agama. Umum diketahui bahawa pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan penubuhan Negara Islam dalam konteks Malaysia. Ia juga merupakan senjata yang sering digunakan oleh BN untuk melaga-lagakan hubungan DAP dengan PAS selama ini. Namun, ia sama sekali tidak bermakna bahawa DAP menentang agama Islam.

Malah DAP telah secara terbuka menyatakan komitmennya mendukung status Islam sebagai agama rasmi persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pendirian ini jelas dinyatakan dalam Dokumen Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dipersetujui bersama pada bulan Disember lepas. Komitmen ini bukan sahaja dinyatakan di atas kertas namun telah dimanifestasikan dalam pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin sendiri oleh Lim Guan Eng.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menggandakan peruntukan tahunan untuk tujuan agama Islam sehingga RM24.3 juta untuk tahun 2010 berbanding RM12.5 juta pada tahun 2008 di bawah kerajaan terdahulu yang dipimpin BN. Bukankah ini bukti kukuh bahawa kedudukan agama Islam bukan sahaja tidak tergugat malah didukung dan diperkukuhkan oleh sebuah kerajaan yang diterajui oleh DAP? Bukan sahaja peruntukan ditambah, malah Guan Eng memberi sokongan padu untuk menubuhkan sebuah Majlis Syura yang mengumpulkan sekumpulan pakar agama Islam untuk menasihati Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam hal-ehwal agama Islam.

Pada masa yang sama, perkembangan agama-agama lain tidak disekat dan dimudahcarakan seperti bantuan kewangan kepada tokong, kuil dan gereja. Permohonan tanah untuk pembinaan tempat beribadat pula diluluskan tanpa banyak karenah birokrasi. Ini tidak sama sekali mengugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara kita. Inilah pendekatan “Malaysia Pertengahan” untuk mewujudkan sebuah masyarakat pelbagai agama yang harmoni.

Satu lagi ciri kesederhanaan dalam “Malaysia Pertengahan” ialah menggunakan pendekatan yang aman dalam memperjuangkan sebarang isu. Cara kekerasan sama sekali tidak boleh diterima dalam pendekatan kita.

Dalam sejarah perjuangan DAP, kami tidak pernah menghalalkan kekerasan biarpun apa isunya samada yang melibatkan kebudayaan, kaum ataupun pendidikan.

Cara yang sinonim dengan DAP ialah kempen mengumpul tandatangan, forum, ceramah dan yang paling keras pun hanyalah mengambil sepanduk dan kain rentang. Ini adalah cara-cara yang tidak bercanggahan dengan semangat demokrasi. Justeru, serangan ke atas gereja, kuil Sikh dan surau baru-baru ini di seluruh negara merupakan tanda-tanda yang amat membimbangkan kami. Fenomena ini perlu dicegah dari awal dan semua pihak perlu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau seperti ini.

Kesimpulannya, “Malaysia Pertengahan” yang diidamkan oleh DAP adalah sebuah kerajaan yang melaksanakan dasar yang pragmatik yang bukan sahaja dapat menjana pertumbuhan dan meningkatkan daya saing negara tetapi juga menjamin keadilan sosial kepada rakyatnya, sebuah masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni dan saling hormat-menghormati serta politik yang mengutarakan pendekatan yang sederhana dan mengharamkan semangat pelampau.

DAP tidak rela dilabelkan sebagai “juara bukan Melayu” kerana lawan kita bukannya orang Melayu. Kita mahu diiktiraf sebagai “juara integriti” kerana lawan kita ialah rasuah dan penyelewengan serta “juara kesederhanaan” kerana kita juga mahu lawan ekstremisme dan mereka yang bersifat “ultra”. Inilah jalan pertengahan yang bakal menjadi lebuhraya penyambung ke Putrajaya untuk Pakatan Rakyat!-roketkini.com

Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Rasah yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP dan Ketua Pemuda Sosialis DAP

Tulisan lain mengenai idea Jalan Pertengahan, juga boleh dilawati di sini http://roketkini.com/2011/09/29/jalan-tengah-malaysia-oleh-liew-chin-tong/