Berita

DAP mahu PBB beri penjelasan kenyataan Dimitri Vlassis

KUALA LUMPUR, 15 OKTOBER: DAP meminta Setiausaha Agung PBB Ban Ki Moon memberi respon adakah kenyataan Dimitri Vlassis, Ketua Cawangan Ekonomi dan Jenayah, Bahagian Perjanjian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNODC) mencerminkan pendirian rasmi UNODC dan badan dunia itu.

Dalam ucapannya semasa Persidangan ke-6 dan mesyuarat agung Persatuan Pihak Berkuasa Anti-rasuah Antarabangsa (IAACA) di Kuala Lumpur, Dimitri Vlassis dilaporkan berkata laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) ini sebagai “lapuk”, “tidak produktif” dan “tidak dapat digunakan sesiapa pun”.

Kenyataan Vlassis itu jelas Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sebagai menggerunkan mereka yang berkempen menentang rasuah di Malaysia kerana mereka menganggap ini satu tamparan hebat daripada agensi anti-rasuah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Ia menggugat usaha mereka untuk memastikan pentadbiran Najib mempunyai kesungguhan politik untuk benar-benar melaksanakan janji mereka membanteras rasuah terutamanya “Rasuah Besar” melibatkan VVIP-VVIP dikalangan personaliti politik dan awam.”

Bukan sekadar itu, jelas Kit Siang, Vlassis juga telah memuji usaha serius kerajaan Malaysia membasmi rasuah sedangkan Malaysia mencatatkan rekod paling rendah dalam tempoh 17 tahun dimana mata Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2011berada di kedudukan nombor 60 dengan 4.3 sedangkan pada 1995 Malaysia berada pada kedudukan nombor 23 dan mata 5.23 pada 1996.

“Dalam erti kata lain, CPI TI 2011 menyatakan hakikat yang menakutkan bahawa rasuah di Malaysia semakin buruk dan tak terkawal di bawah Perdana Menteri Najib Razak berbanding mana-mana pemimpin sebelumnya.” -Roketkini.com