Berita

Undang-undang sekat penerimaan dana asing, UMNO Hipokrit – Tony Pua

KUALA LUMPUR 15 OKTOBER: Cadangan Menteri Hal Ehwal Undang-undang DatukNazri Abdul Aziz semalam untuk menggubal undang-undang  bagi menyekat penerimaan dana asing disifatkan sebagai hipokrit memandangkan UMNO sendiri menerima dana asing bernilai RM40 juta.

Undang-undang tersebut kataNazri adalah perlu bagi menghalang campur tangan kuasa asing ke atas keselamatan negara.

Sebelum ini SUARAM dan BERSIH telah diserang hebat dengan dakwaan menerima sumbangan asing untuk aktiviti sivik mereka.

Memberi respon kepada kenyataan Nazri, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata cadangan tersebut bukan sahaja tidak praktikal dan hiprokrit tetapi ia benar-benar satu tindakan pilih kasih.

“Sebelum Datuk Nazri mendapat sebarang sebarang locus standi untuk mencadangkan mana-mana undang-undang berkenaan pembiayaan asing, dia terlebih dahulu perlu  mendedahkan dari mana sumber pembiayaan asing yang diterima UMNO.” Ujar Tony.

Apa yang menimbulkan keraguan ujar Tony ialah apabila Nazri seolah-olah berasa tidak bersalah mencadangkan penggubalan undang-undang.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengakui bahawa wang itu adalah sumbangan politik.

Najib juga enggan mendedahkan pihak yang menyumbang wang tersebut kerana pada hematnya pihak oposisi juga tidak mendedahkan penyumbang dana mereka.

Pun begitu jelas Tony, “Nazri sendiri telah mengaku bahawa wang RM40 juta dalam matawang Singapura tersebut cuba diseludup masuk ke Sabah dari Hong Kong oleh Michael Chia.”

Dalam satu jawapan di Parlimen sebelum ini kata Tony, Nazri telah menyebut bahawa wang berjumlah RM40 juta yang cuba diseludup ke Malaysia melalui Hong Kong itu merupakan sumbangan kepada UMNO Sabah dan bukannya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Menimbulkan persoalan, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata sekiranya wang pembiayaan RM40 juta itu adalah sah, mengapa wang dalam mata wang Dolar Singapura itu diimport dalam bentuk tunai?

“Kita khuatir jumlah sumbangan yang banyak dengan cara sebegitu akan menjejaskan kestabilan negara”, jelas Tony Pua.-roketkini.com