Berita

BN buat untung dari rakyat untuk bela kroni – Rafizi

KUALA LUMPUR, 24 OKTOBER: Kerajaan BN ditempelak kerana tidak mengusulkan sebarang mekanisme atau idea untuk menangani masalah ekonomi yang mereka sendiri bina sejak 55 tahun memerintah sehingga Malaysia memegang  rekod sebagai negara yang mempunyai hutang paling tinggi di Asia.

Bercakap dalam forum “Bagaimana PR membelanjakan wang rakyat” kelmarin di KLCSAH, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, biarpun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak berbanding negara lain yang tidak mempunyai sumber itu, data dalam belanjawan 2013 kali ini telah mencatatkan hutang negara paling tinggi sebanyak RM456.1 bilion.

Justeru, dengan hutang yang semakin melonjak, kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membiayai atau menampung bajet bagi kebajikan rakyat.

“Jadi dia (UMNO-BN) akan buat dua tiga pekara antaranya naikkan cukai. Contohnya harga kereta RM56 ribu harga, kita tak tahu mana satu levi dan mana satu harga sebenar kereta,

“Hari ini mereka juga naikkan cukai rokok. Mereka minta tolong syarikat rokok untuk naikkan cukai rokok. Bab rokok ni, kritik saya adalah cara UMNO tadbir ekonomi. Dia nak umumkan 12 peratus kenaikan dia takut kalah.” katanya.

Untuk menambahkan lagi hasil kerajaan, Rafizi juga memberikan contoh bagaimana kerajaan UMNO-BN menggunakan perkhidmatan kamera AES untuk membuat keuntungan.

“Apa masalah sebenarnya, untuk kemalangan jalannya kita perlu letakkan lebih ramai polis dan banyakkan papan tanda. Jadi, semua tempat bahaya ada polis.

“Tapi, BN masih gunakan pendekatan dulu. Mereka bukan mencegah pemandu untuk pandu perlahan tetapi buat keuntungan melalui saman.” ujar beliau.

Pendidikan tak berkualiti, pengganguran dan beban hutang PTPTN

Forum yang dihadiri sekitar 150 orang ini turut diperjelaskan mengenai perkara yang diketengahkan oleh Pakatan Rakyat melibatkan kualiti pendidikan dan hutang PTPTN.

Kata Rafizi, UMNO tidak faham apabila PR bersuara mengenai PTPTN dengan menuduhnya sebagai  populis untuk dapatkan undi lebih. Pun begitu jelasnya, kita harus melihat isu ini dalam kerangka yang lebih meluas.

“Malaysia perlu bertukar dari ekonomi yang bergantung kepada komoditi seperti minyak kepada sumber manusia. Kena lihat kepada pokok pangkal punca, dalam hal ini, UMNO beri jalan kepada sebahagian syarikat-syarikat swasta yang  menubuhkan kolej-kolej dan ambil keuntungan dengan kualiti yang tak berpatutan,

“Apabila graduan yang dihasilkan tidak berkualiti. Jadi ada pengangguran. Bagaimana nak bayar hutang?

“Kalau kita tengok kepada hutang PTPTN, setiap tahun akan ada ‘big mismatch’ antara peminjam. Untuk tahun 2008 laporan audit negara berkata pada tahun 2020, hutang terkumpul peminjam PTPTN ini akan mencecah RM 40 billion.” ujarnya

Turun harga kereta, mekanisme serampang dua mata

Menempelak dakwaan negara akan muflis sekiranya menurunkan 20 peratus harga kereta, Rafizi berkata ia tidak benar sama sekali kerana ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion sahaja dalam tempoh 5 tahun.

“Dengan cara ini, kita akan dapat melepaskan RM7 bilion kepada poket rakyat semula. Buat masa sekarang, rakyat terpaksa berbelanja RM1000 hingga RM1700 sebulan hanya untuk kereta. Akhirnya sebahagian besar pendapatan mereka habis disitu,”

Ulasnya lanjut, menurut kajian yang dijalankan, tiga dari empat keluarga di Malaysia terpaksa memiliki kereta kerana tidak ada pilihan.

“Cadangan PR ini serampang dua mata, pertama untuk kurangkan harga kereta dan menambah belanja rakyat. Bila kita turunkan duti eksais, ia juga akan kembalikan wang kepada negara.

Di Malaysia, 60 peratus buah keluarga mempunyai pendapatan dibawah RM2000 sebulan manakala satu per tiga dari jumlah tersebut berpendapatan dibawah RM1500 sebulan.

Forum malam tersebut turut dihadiri dua lagi panelis iaitu Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Mariah Mahmud dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan dipengerusikan oleh Dr. Ong Kian Ming, Strategis Pilihanraya DAP.- Roketkini.com