Berita

Akibat tuduh DAP terlibat dengan maksiat, Khir Toyo akhirnya mohon maaf

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo hari ini telah meminta maaf secara terbuka kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikutan kenyataan beliau terhadap wakil rakyat DAP itu yang kononnya menghalang pihak berkuasa tempatan daripada mengambil tindakan terhadap sebuah pusat maksiat di Puchong.

Penyelesaian tersebut didengar Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad dengan Khir membacakan kenyataan maaf tersebut.

Dalam kenyataan tersebut, bekas Menteri Besar UMNO-BN itu memohon maaf kepada Liu yang juga Adun Pandamaran berikutan sebuah rencana bertajuk “Khir membongkarkan laporan polis Liu Tian Khiew pernah bercampur tangan dalam urusan menghapuskan kegiatan pelacuran” yang disiarkan China Press pada 5 Mei 2008.

Dalam rencana tersebut, Khir telah menuduh bahawa Ronnie Liu telah menghalang tugas penguatkuasa MPSJ dan pihak polis yang terlibat menutup operasi sebuah hotel di Puchong yang didakwa menjadi sarang pelacuran.

Khir turut memohon maaf kepada Liu kerana mendakwa bahawa Liu turut terlibat dalam aktiviti pelacuran, yang diakuinya tadi sebagai tidak benar sama sekali.

Menyesali tindakan beliau dan kesan tindakannya terhadap Liu, Khir menarik kembali kenyataannya tersebut dan memohon maaf tanpa syarat.

Gobind Singh Deo, mewakili Liu mengumumkan penyelesaian tersebut tanpa tuntuan kos.

“Pepatah Cina ada menyebut, jika kamu boleh memaafkan orang, maafkan saja. Apa yang dikatakan oleh Khir adalah tidak benar dan telah mengakibatkan reputasi saya sebagai seorang ahli politik rosak,” kata Liu kepada wartawan.

Awal bulan ini, Utusan Malaysia dan bekas pengarang kanannya Datuk Chamil Wariya (yang kini menjadi Ketua Eksekutif Institut Akhbar Malaysia) telah meminta maaf kepada Exco Kanan Selangor Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh kerana memfitnah wakil rakyat DAP itu melalui cerpen yang diterbitkan oleh Utusan pada Oktober 2008.

Utusan juga sebelum ini telah diarahkan oleh mahkamah untuk embayar tuntutan saman oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kerana fitnah yang bertalu-talu melalui pembohongan yang palsu serta bersifat perkauman terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut.  – Roketkini.com