Berita

Gaji minima RM1,100: MCA-BN tak mahu rakyat senang

KUALA LUMPUR 24 OKTOBER: Penentangan MCA-BN terhadap cadangan perlaksanaan gaji minima RM1,100 oleh PR menimbulkan tanda tanya samada parti tersebut memusuhi golongan pekerja negara ini apabila mendakwa perlaksanaannya bakal memufliskan negara.

“Kualiti hidup keluarga dan individu di Malaysia akan bertambah baik. Yang menghairankan, mengapa MCA menentang cadangan ini seolah-olah mereka melancarkan perang terhadap golongan pekerja di Malaysia?” soal Ahli Parlimen Klang Charles Santiago ketika menjadi salah seorang panelis dalam forum ‘Bagaimana Pakatan Rakyat akan Membelanjakan Wang Rakyat’ anjuran Roketkini.com di Kuala Lumpur Ahad lalu.

Walhal katanya, sebelum ini Perdana Menteri Najib Razak sendiri telah memperkenalkan dasar gaji minima sebanyak RM900 di Semenanjung Malaysia dengan perbezaan cuma di antara RM900 dan RM1,100.

Pun begitu ujar Santiago, perlaksanaan gaji minima sebanyak RM900 tidak memberi apa-apa makna kerana ramai kalangan pekerja berpendapatan sekitar jumlah tersebut.

Jelasnya lanjut, gaji minima RM1,100 ini akan meningkatkan kualiti hidup golongan pekerja negara ini selain merapatkan jurang golongan miskin dan kaya melalui lebihan pendapatan.

“Ada kajian telah menunjukkan bahawa ia juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang baru,” kata Santiago.

Ujarnya, kenyataan beliau ini turut bersandarkan kepada satu kajian di Indonesia pada tahun 1990 yang menunjukkan perlaksanaan gaji minima tidak akan meningkatkan jumlah pengangguran.

Menyifatkan dakwaan MCA-BN sebagai sebuah paranoia dan tuduhan tidak berasas, Santiago berkata hasil kajian dari laporan dari Bank Dunia juga mendapati perlaksanaan gaji minima RM1,100 ini tidak akan memberi sebarang kesan besar kepada pelaburan.

Tambah Santiago, selain mampu menaiktaraf kehidupan keluarga golongan pekerja negara ini, dasar gaji minima PR bakal mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing di Malaysia.

“Ia akan memberi peluang kepada orang tempatan memperoleh peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik,”

Merujuk kepada amalan dasar merakyatkan ekonomi negeri oleh Kerajaan Negeri Selangor, katanya Selangor telahpun menetapkan gaji minima sebanyak RM1,500 bagi syarikat-syarikat GLC negeri.

“Kerajaan negeri telah menubuhkan dana peralihan untuk membantu syarikat GLC mereka yang bersaiz lebih kecil untuk memenuhi dasar gaji minimum ini.” ujar beliau.-Roketkini.com