Berita

Golongan wanita akan lebih terbela dibawah Pakatan Rakyat – Dr. Siti Mariah Mahmud

KUALA LUMPUR 24 OKTOBER: Semua golongan wanita akan lebih terbela melalui dasar pemerkasaan wanita Pakatan Rakyat yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan sosio ekonomi dan pendidikan melalui pelbagai insentif.

Bercakap dalam forum “Bagaimana PR akan membelanjakan wang rakyat”, Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, pemerkasaan wanita ini akan dilaksanakan melalui Agenda Wanita Malaysia (AWM) yang memberi fokus khusus kepada cabaran sistem sokongan yang ditanggung golongan wanita.

Justeru jelasnya, tumpuan akan diberikan kepada mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang dari RM1,500 kerana statistik menunjukkan bahawa 40 peratus pendapatan isi rumah di Malaysia berada dibawah paras tersebut.

“Kerajaan Pakatan Rakyat akan memberikan RM50 setiap bulan. Ini bermakna RM600 bagi setahun melalui Caruman Wanita Nasional,”

Selain itu jelas Dr. Mariah, AWM menyasarkan penglibatan lebih ramai wanita dalam arus pembangunan negara meliputi beberapa bahagian yang akan diberi fokus seperti pendidikan, kesihatan, kesejahteraan, pendemokrasian, pemberdayaan undang-undang dan wanita muda.

Menurut beliau, wanita bukan sahaja melahirkan anak-anak tetapi mereka juga menguruskan hal ehwal rumahtangga.

“Melalui AWM, kita akan adakan pelbagai insentif lain. Selain mendapat pencen ilat jika kematian suami, kita juga meletakkan sejumlah peruntukan bagi wanita yang berpendapatan dibawah RM1,000 dimana Kerajaan PR akan berikan RM1,000 setahun untuk membolehkan mereka meletakkan anak-anak di pusat-pusat jagaan,”

“ BN beri BR1M RM500 sekali setahun, duit itu akan habis sekejap saja, kita (PR) beri hingga mereka boleh guna selepas bertahun-tahun”, tambah Ahli Parlimen Kota Raja ini lagi.

“Pusat mikrokredit juga akan diwujudkan bagi wanita yang mahu memulakan perniagaan, kerajaan PR akan bantu mereka dapatkan khidmat mikrokredit ini.” jelas beliau.-Roketkini.com