Berita

“Haram” lompat parti di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 2 NOVEMBER: Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan Rang Undang-Undang  Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 bagi mengelak amalan lompat parti di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri itu.

Enakmen itu disokong 27 daripada 31 Adun, dengan empat wakil rakyat daripada Umno yang hadir berkecuali dan tidak mengundi.

Justeru secara langsung ia akan mengelak kerajaan yang sah dipilih rakyat pada pilihan raya umum ditumbangkan secara tidak demokratik sepertimana yang berlaku di Perak dan Sabah sebelum ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga ADUN Air Putih berkata, dasar anti lompat parti ini adalah satu langkah bagi menjamin hak muktamad rakyat membuat keputusan pada pilihan raya umum.

“Rang undang-undang ini memperuntukkan bahawa seseorang ahli dewan yang dipilih sebagai calon sesebuah parti politik hendakklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia melepaskan atau dilucutkan keanggotaannya atau berhenti daripada menjadi ahli parti politik atas apa-apa juga alasan sekalipun,” ujarnya.

Ini, katanya, sebagai langkah menangani budaya tidak sihat dan tidak beretika melompat parti politik untuk kepentingan peribadi, bagi menggalak integriti, akauntabiliti dan untuk mengekalkan kuasa rakyat memilih ADUN.

“Kita sudah menyaksikan negara dalam keadaan huru-hara apabila kerajaan persekutuan merampas kuasa negeri dengan cara yang tidak demokratik, melalui (perbuatan) pengkhianatan ahli parti,” katanya.

Lim juga berkata, selain meninggalkan parti untuk keuntungan peribadi, mereka yang terbabit juga mengkhianati amanah rakyat yang memilih mereka sebagai wakil rakyat.

Beliau kemudian menyebut tiga negeri di mana mandat rakyat tidak dihormati – di Sarawak pada 1966, Sabah (1994) dan Perak (2009).

Lim berkata enakmen itu digubal oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat dan berdasarkan tiga prinsip penting:

  • Kedaulatan rakyat di bawah sistem demokrasi berparlimen, dengan rakyat mempunyai hak untuk memilih wakil mereka;

 

  • Kebebasan berpersatuan bagi wakil yang dipilih, tetapi dia perlu mengosongkan kerusinya jika melompat parti;

 

  • Bagi prinsip akauntabiliti, wakil rakyat mesti bertanggungjawab kepada pengundi mereka.

Enakmen itu termasuk Seksyen 14A,  ‘Ahli yang menukar parti politik’, yang mengkehendaki seseorang ADUN dari parti tertentu yang dipilih oleh rakyat, untuk mengosongkan kerusinya jika dia bertukar parti atau berhenti menjadi ahli parti atas apa jua alasan.

Seseorang yang dipilih sebagai ahli Bebas juga mesti mengosongkan kerusinya jika orang itu menyertai sesebuah parti politik.

Sebelum ini, MCA-BN menyerang kerajaan negeri mendakwa pelaksanaan pindaan perlembagaan yang dicadangkan itu bakal mencipta krisis perlembagaan negara.

Walhal, menurut Guan Eng, serangan dan bangkangan MCA itu menunjukkan perbezaan jelas antara niat BN terhadap kepentingan parti ketegasan dan fokus PR terhadap dasar untuk menjaga kepentingan dan aspirasi rakyat.

Penggubalan rang undang-undang ini mendapat kerjasama dan dokongan penuh semua gabungan parti Pakatan Rakyat Pulau Pinang.- Roketkini.com