Berita

Himpunan Kebangkitan Rakyat 3 November tidak langgar Akta Perhimpunan Aman 2011

KUALA LUMPUR 2 NOVEMBER: Pakatan Rakyat tetap meneruskan Perhimpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya antara jam 4 petang hingga 12 tengah malam, pada 3 November ini yang dijangka akan dihadiri 50,000 peserta dari seluruh negara.

Mengikut laporan Sinar Harian 30 Oktober lalu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin memberi amaran bahawa polis boleh mengambil tindakan kerana pihak penganjur tidak memohon permit untuk mengadakan perhimpunan berkenaan.

Katanya, polis sudah dimaklumkan mengenai perhimpunan itu dan permohonan penganjur tidak dapat diproses memandangkan pengisian borang dilakukan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

Mengulas mengeni perkara itu, Pengerusi Bersama Penganjur Himpunan, Anthony Loke ketika dihubungi berkata, buat masa ini semuanya berjalan lancar dan sepatutnya tidak timbul sebarang masalah.

“Mengikut Akta Perhimpunan Aman, kita hanya perlu beritahu pihak polis dan tidak perlu memohon permit,” katanya.

Beliau merujuk kepada  Fasal 9(1)  Akta Perhimpunan Aman 2011 bahawa; Penganjur hendaklah memberi notis mengadakan perhimpunan kepada polis daripada 30 hari kepada sepuluh hari.

Himpunan kebangkitan Rakyat ini dianjurkan berikutan sikap tidak peduli kerajaan terhadap lapan tuntutan Bersih sebelum ini termasuk membersihkan senarai daftar pemilih.

“Ia juga adalah satu himpunan kolektif menuntut pembayaran royalti minyak kepada Kelantan, tuntutan masyarakat FELDA, membantah projek pemprosesan nadir-bumi Lynas yang membawa risiko pencemaran radioaktif serta projek RAPID Pengerang yang akan menyebabkan kesan ekonomi dan alam sekitar terhadap tujuh kampung dengan kepadatan sekitar 28,000 penduduk.

Loke yang juga Ketua Pemuda DAP Kebangsaan meminta agar seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama turun memberi sokongan demi Malaysia yang lebih adil, baik dan bersih.

Perhimpunan 3 November ini bakal dihadiri semua kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parliment DAP, Lim Kit Siang.-roketkini.com