Berita

Demi negara, Janice seru orang muda sertai DAP

PETALING JAYA 5 NOVEMBER: Golongan muda yang menyertai DAP perlu sedar bahawa penyertaan mereka ke dalam parti itu bukanlah satu platform untuk mendapat balasan atau imbuhan seperti yang dilakukan BN.

Malah ahlinya terutama di kalangan AJK DAPSY perlu lebih banyak berkorban demi negara untuk menyedarkan masyarakat mengenai betapa pentingnya demokrasi dan perubahan.

Berucap dalam Konvensyen DAPSY Selangor di Dewan Sivik Petaling Jaya, Ketua DAPSY Selangor, Jenice Lee Ying Ha berkata, parti sangat mementingkan kualiti daripada kuantiti semata-mata.

“Ini kerana sesiapa yang dipilih sebagai AJK perlu mengorbankan masa dan tenaga secara sukarelawan untuk membangunkan DAPSY tanpa mengharapkan apa-apa balasan,

“Dalam tiga tahun lalu kita berjaya menubuh 13 cawangan iaitu Sg. Besar, Kuala Langat, Kapar, Klang, PJU, PJS, Kelana Jaya, Pandan, Ampang, Serdang, Puchong, Hulu Langat dan Sepang, ia bukanlah suatu perkara mudah.” ujarnya.

Golongan muda Selangor vs pengundi asing

Memberi penekanan terhadap kesedaran politik dan kebajikan orang muda negeri ini yang semakin meningkat, Janice yang juga ADUN Teratai berkata, orang muda mewakili 45 peratus dari penduduk negeri Selangor.

Tanpa menafikan peranan orang muda dalam PRU lalu, beliau mengingatkan perwakilan bahawa pada PRU kali ini, PR akan berhadapan dengan ramai pengundi asing.

“Dalam satu kajian dan siasatan terhadap pengundi yang dijalankan Kerajaan Negeri Selangor tahun ini, lebih 100 ribu pengundi baru tidak dapat dikesan.

“Sekarang di Negeri Selangor, rakyat asing yang mempunyai Mykad juga boleh menentukan kerajaan dan masa depan negara kita,” ujarnya

Dalam masa yang sama, Janice meminta kerajaan agar mengambil perhatian serius terhadap isu peluang pekerjaan, peluang perniagaan, rumah mampu milik, kenaikan kadar muflis di kalangan golongan muda yang semakin meningkat saban tahun.

Selain itu, beliau turut mengetengahkan isu pendidikan yang berkualiti, kemudahan pusat penjagaan anak supaya wanita muda dapat bekerja, isu inflasi dan alam sekitar untuk membentuk masyarakat yang lestari.

DAPSY perlu mendepani isu

Mengakhiri ucapannya Janice berharap DAPSY dapat mendepani isu selain manambah bilangan pimpinan muda supaya suara golongan itu dapat didengar.

“Kita menganjurkan program atau kempen bukan mengira kuantiti tetapi kualiti. Kita berharap kempen kita boleh memberi tekanan kepada kerajaan supaya suara rakyat dapat disampai kepada pihak kerajaan melalui platform DAPSY,

“Jika DAPSY ingin menjadi satu sayap politik yang berprestasi dan memimpin masyarakat, setiap ahli DAPSY perlu lebih memahami isu semasa, memahami ideologi parti dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan mencukupi,” katanya.-roketkini.com