Berita

Izzah tidak pernah pun sokong murtad

KUALA LUMPUR, 5 NOVEMBER: Media pro-UMNO diselar apabila gagal dalam percubaannya untuk memutarbelit kenyataan dan pendirian Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengenai jawapan dalam forum “Islamic State: Which version? Whose responsibility?” sebagai seorang panelis.

Dalam kenyataannya kepada media Nurul Izzah memberitahu beliau ditanya mengenai isu paksaan dalam agama memembabitkan masyarakat Melayu.

“Jawapan saya menegaskan ungkapan – “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)….” – daripada ayat suci al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia,” kata beliau.

Apa yang cuba untuk tidak dijelaskan media arus perdana pro-UMNO ialah apabila beliau menambah, “Saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.”

“Saya kesal kerana ada usaha kalangan yang cuba memutarbelitkan kenyataan saya seolah-olah saya meremehkan soal akidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad,” ujar beliau merujuk kepada usaha tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang cuba menimbulkan kekeliruan dan fitnah terhadap beliau melalui putar belit media.

Bahkan, katanya, beliau cenderung mendukung program pendididkan dan dakwah untuk memperkukuh akidah dan meningkatkan kefahaman mengenai Islam.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan di muka depannya menggunakan jawapan singkat Nurul Izzah dengan tajuk besar ‘Melayu bebas pilih agama?’ namun turut menyelitkan kenyataan beliau di muka surat lima.

Akhbar milik UMNO itu sudah beberapa kali kalah dalam kes saman fitnah oleh pemimpin Pakatan Rakyat termasuk oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Saya berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada semua, demi kesejahteraan bersama,” ujarnya. – Roketkini.com