Rencana

Tuntutan bersih daftar pemilih serius, jangan sampai melukut di tepi gantang… Oleh : Hafiz Zainuddin

DALAM keghairahan parti politik berkempen manakala ahli politik pula lebih banyak menghabiskan masa memenuhi jemputan kenduri kahwin dan doa selamat, mereka juga sudah mula  turun padang menjenguk kampung, parit dan longkang. Jalan berlopak sudah ditampung, fakir miskin diberi bantuan, anak sekolah dapat basikal. Mudah-mudahan tuah menyebelahi mereka harapnya.

Walaupun, rakyat sekadar mampu mendengar, melihat dan menilai sejauh mana keikhlasan dan keazaman parti atau bakal calon mereka sebelum memuntahkan pendirian di atas kertas undi.

Debaran menanti pilihan raya bakal berakhir, mahu atau tidak, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menetapkan tarikh pilihan raya umum sebelum tamat sesi Parlimen ke-12 pada 24 April 2013. Dan kiranya beliau punya rasa malu dan maruah, punya keyakinan dan anak jantan, beliau perlu “Bersihkan senarai pemilih dalam daftar pemilih SPR” sebagaimana tuntutan masyarakat sivik dan NGO Bersih.

Orang kita cepat kelabu mata, kelabu asap

Rakyat Malaysia sering kelabu mata dengan angka, sebab itu ramai yang kena tipu masuk pelaburan haram. Bila dah rugi, potong leher pun duit takkan kembali. Perhatian yang sama juga harus kita berikan pada angka pengundi di Malaysia.

Menurut data SPR sendiri, jumlah pegundi baru yang berdaftar mencatatkan rekod terhebat sepanjang separuh abad ini. Sehingga 30 Jun 2012, sejumlah 2,920,828 rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pengundi bermula dari tahun 2008.

Selain merujuk kepada manifestasi kebangkitan gelombang kesedaran politik baru di kalangan generasi muda, ia turut membawa persoalan kepada ketelusan pendaftaran pemilih itu. Sebab, Tun Dr Mahathir sendiri pernah mengaku memberi kerakyatan mudah dalam “Projek IC Sabah” era 90-an dulu. Maka, berduyun-duyunlah warga Filipina dan Indonesia dapat IC semudah A, B, C yang membolehkan mereka mengundi.

Kelayakan warga asing mengundi bakal membawa bencana apabila kesetiaan mereka yang terpaksa mengundi BN ini bakal menjahanamkan seluruh struktur demokrasi malah ekonomi rakyat dan negara. Lihat saja apa yang berlaku di Sabah.

Kalaulah ia pernah berlaku di zaman mantan Perdana Menteri yang disanjungi ramai sehingga kini, apakah jaminan ia tidak akan berulang apatah lagi parti yang memerintah tetap parti yang serupa dua kali lima.

Malah, kecanggihan sistem SPR juga tidak dapat lari daripada ratusan ribu senarai daftar pemilih yang diragui seperti yang terbongkar di Selangor.

Daftar pemilih SPR diragui-Kajian MERAP

Menurut Pengarah Projek, Malaysian Electoral Roll Analysis Project atau Projek Analisa Senarai Daftar Pemilih Malaysia) (MERAP), Dr Ong Kian Ming, mereka mendapati selain pendaftaran melalui individu dan parti politik, dua agensi kerajaan selain SPR dikenalpasti turut menjalankan daftar pemilih secara komprehensif iaitu JASA dan KEMAS.

Agensi JASA dinaungi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan manakala KEMAS pula terletak di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ujar Dr Kian Ming, setiap borang pendaftaran pemilih yang dihantar kepada SPR mempunyai kod tertentu. Jika ia mempunyai KOD N, ia adalah pendaftaran daripada parti politik. Akan tetapi, jika kodnya ialah KOD J, ia adalah pendaftaran daripada agensi kerajaan terbabit.

Kajian komprehensif yang dijalankan terhadap senarai pemilih ini telah menemui beberapa kesangsian dalam daftar pemilih SPR.

Katanya, “Banyak daftar pemilih baru yang didaftar oleh JASA dengan KOD J menggunakan nombor  71,

“Kod 71 ini bermakna orang yang didaftarkan ini bukan lahir di Malaysia dan kami dapati mereka berada di kawasan bandar. Yang menjadi kesangsian dan tanda tanya ialah mereka ini tidak mempunyai  alamat rumah atau nama dan jalan,

“Semua butir-butir ini boleh didapati dalam rekod MERAP.”  jelas beliau.

Ditanya lanjut mengenai kemungkinan pemilih berkod 71 ini sudah lama bermastautin, beliau menimbulkan persoalan sekiranya begitu mengapa mereka tidak mempunyai alamat rumah?

Kajian serta penyelidikan yang dijalankan MERAP bermula sejak Februari 2012 diketuai Dr Ong Kian Ming sendiri serta tiga lagi penyelidik. Beliau juga adalah seorang pensyarah dan ahli akademik di UCSI University dengan pengalaman luas dalam bidang analisis politik.

SPR tidak tunai janji

Dalam isu berkaitan, MERAP kecewa apabila SPR tidak menunaikan janji mereka untuk bersama mengambil langkah konstruktif terhadap penemuan yang berjaya dikenalpasti dalam system daftar pemilih Malaysia.

MERAP sudah menghantar sebuah laporan setebal 36 muka surat kepada SPR dan sepatutnya menemui SPR selepas cuti Aidilfitri Ogos lalu tetapi menurut Dr Kian Ming, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menutup pintu rundingan setelah mendapati beliau menyertai DAP.

Justeru, MERAP merasakan tindakan itu sebagai langkah tidak professional kerana Dr Ong Kian Ming masih belum melepaskan jawatannya sebagai ahli akademik di UCSI Universiti atau MERAP sendiri.

Malaysia perlu reformasi, SPR perlu bersih!

Kecelaruan dan kesangsian dalam daftar pemilih SPR akan membuahkan bencana sekiranya tidak ditangani dengan serius. Masa depan negara dan kita sebagai rakyat bakal terletak di tangan ‘rakyat baru’ yang mendapat kuasa mengundi semata-mata untuk mempertahankan kerajaan BN.

Sering saja kita mendengar aduan pemilih lama ditukarkan tempat mengundi tanpa diberitahu. Malah sebelum ini ada kes di mana nama pengundi yang meninggal dunia masih aktif dalam senarai daftar pemilih SPR.

Jika Najib, BN dan SPR benar-benar ikhlas untuk menjayakan Malaysia sebagai sebuah negara yang matang demokrasi dan mendukung cita-cita murni Malaysia maju 2020. Nescaya, ratusan ribu rakyat tidak akan turun ke jalan raya menyahut seruan Bersih.

Atau, apakah sikap mendiamkan diri Najib dan SPR ini adalah petanda bahawa Bersih 4.0 akan dilancarkan tidak lama lagi? Maka, bersiap bersedialah.-Roketkini.com