Berita

Isu sokong murtad: Nurul Izzah saman Utusan Malaysia, Berita Harian

KUALA LUMPUR 7 NOVEMBER: Utusan Malaysia dan Berita Harian bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang berikutan laporan berbaur fitnah terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengenai isu kebebasan beragama yang didakwa diputarbelitkan.

Dalam satu kenyataan, Nurul yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya Tetuan Hanipa Maidin dan Haji Sulaiman Abdullah untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas dua akhbar harian terbabit.

Malah beliau turut menjangkakan kemungkinan akan mengambil tindakan terhadap media lain yang memutar belit kenyataan yang dikeluarkannya sehingga mencetuskan kontroversi.

“Saya tidak merelakan fitnah sebegini diteruskan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, demi menegakkan kebenaran dan keadilan,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Nurul Izzah sebelum ini menjadi mangsa putar belit Utusan Malaysia dan Berita Harian apabila beliau seolah-olah digambarkan sebagai menyokong murtad di kalangan orang Islam.

Kempen memburuk-buruk dan menjatuhkan imej pimpinan PR adalah satu daripada strategi terdesak UMNO-BN meraih sokongan pengundi kerana sudah ketandusan modal politik.

Ini bukan kali pertama akhbar milik UMNO itu memutarbelit kenyataan pemimpin PR malah ia sudah banyak kali kalah dalam saman fitnah di mahkamah.-Roketkini.com