Berita

DAP kecam serangan udara regim Israel ke atas penduduk Palestin

KUALA LUMPUR, 16 NOVEMBER: DAP hari ini mengecam keras serangan tentara regim Israel ke atas Gaza yang mengorbankan 11 orang awam termasuk kanak-kanak dan menyebabkan lebih 100 orang tercedera.

Berikutan serangan yang tidak berperikemanusiaan itu, DAP menuntut agar ragim Israel menghentikan pencerobohan mereka dengan segera.

Dalam satu kenyataan, Ketua Hubungan Antarabangsa DAP, Liew Chin Thong juga kesal dengan pendirian Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang menyokong serangan Israel itu sebagai satu tindak balas mempertahankan diri.

“Agak sukar untuk mewajarkan serangan “mempertahankan diri” apabila serangan tentera Israel itu disasarkan ke atas orang awam Palestin,

“Israel mendakwa bahawa serangan mereka disasarkan ke atas puak militan tetapi realitinya orang awam Palestin seperti wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa kekejaman itu,” katanmya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, Amerika Syarikat perlu sedar bahawa sokongan berterusan mereka ke atas tindak-tanduk Israel itu akan menyebabkan perdamaian dan keamanan sukar dicapai di Asia Barat dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan rakyat Palestin terpelihara.-Roketkini.com