Berita

Gagal Laksana Jambatan Baru di Klang Bukti BN Tidak Tepati Janji

SHAH ALAM, 19 NOVEMBER: Mana bukti dakwaan kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janji kerana sampai sekarang belum melaksanakan satu projek jambatan di bandar Klang yang dijanjikan ketika kempen Pilihan Raya Umum 2008.

Kegagalan BN itu membuatkan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor terpaksa mengumumkan peruntukan RM300 juta untuk membina projek jambatan baru di Bandar Klang.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan peruntukan itu berkata, kerajaan negeri terpaksa mendahulukan wang untuk projek itu bagi mengotakan janji yang tidak ditepati BN.

Katanya, difahamkan kerajaan BN sudah menyempurnakan upacara pecah tanah projek itu beberapa hari sebelum pilihan raya umu ke-12, tetapi selepas empat tahun jangankan jambatan, rangka tiang pun masih tidak kelihatan hingga sekarang.

“Oleh itu, pada 2013 nanti, walaupun membina jambatan itu tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri akan mendahulukan wang untuk projek itu  bagi mengotakan janji yang tidak ditepati UMNO-BN,” katanya.

Abdul Khalid (ADUN Ijok) mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2013 di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Peruntukan RM300 juta itu, katanya, datang daripada rezab negeri yang tinggi “hasil daripada perbelanjaan berhemat yang dilakukan pemimpin PaKatan Rakyat.

Jangka siap dua setengah tahun
Mengikut laporan laman Kementerian Kerja Raya, projek pecah tanah itu dilakukan bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohamad Khir Toyo dan bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu pada 4 Mac 2008 di Klang.

Projek dilaporkan membabitkan kos RM230 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua setengah tahun. Ia meliputi pembinaan jalan baru sepanjang 2.5km, jambatan baru merentasi Sungai Klang sepanjang 0.5km dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang 1.3km.

Projek itu antaranya bertujuan mengurangkan kesesakan di kedua-dua jambatan sedia ada – Jambatan Kota dan Jambatan Musaedin – serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

Abdul Khalid membentangkan belanjawan berimbang bertema ‘Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia’ dengan anggaran hasil dan perbelanjaan sebanyak RM1.6 bilion.-roketkini.com