Berita

DAP kecam pendirian Obama terhadap serangan Israel di Gaza

KUALA LUMPUR, 20 NOV: DAP kecewa dengan sikap Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, yang disifatkan begitu lekas membela tindakan Israel yang terus membedil wilayah Gaza di Palestin dengan alasan kononnya Israel mempunyai hak untuk membela diri.

Bercakap dalam membahas usul mengecam tindakan Israel dalam sidang tergempar Parlimen hari ini, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan pendirian Amerika tersebut yang mengakibatkan kezaliman Israel berterusan di daerah tersebut.

“Bagaimana pula dengan hak rakyat Palestin untuk mempertahankan diri daripada penindasan sistematik dan keganasan tajaan rejim Israel yang membawa kematian dan kerosakan skala besar?” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Beliau turut mengecam kenyataan Obama yang menyebut bahawa “violence is not the answer”, (keganasan itu bukan penyelesaian) namun pada masa yang sama membiarkan Israel melancarkan serangan ganas terhadap orang awam Palestin.

“Pendirian lidah bercabang dua ini tidak akan membantu dalam menyelesaikan masalah rakyat Palestin,” ujar beliau.

DAP menggesa Wisma Putra supaya membuat bantahan diplomatik dan menyampaikan pesanan yang tegas kepada pihak-pihak berkuasa terutamanya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat.

Dalam ucapannya lagi, Kit Siang menggesa supaya PBB mengeluarkan ketetapan melalui Majlis Keselamatannya agar segera menghentikan keganasan oleh rejim Israel, dan menuntut Amerika Syarikat supaya lebih bertanggungjawab dan bukan sekadar bercakap kosong.

“Sekiranya komuniti antarabangsa hanya membiarkan sahaja keganasan dan pencabulan hak asasi yang sedang berlaku ke atas rakyat Palestin, maka kita semua akan berkongsi dosa. Kekejaman rejim Israel adalah amat terkutuk dan wajib dihentikan dengan serta merta,” ujar beliau.

DAP berpendirian menyokong usul supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serangan ketenteraannya ke atas wilayah Gaza melalui gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menguatkuasakan gencatan senjata tersebut.

Tentera Israel telah melancarkan serangan besar-besaran minggu lalu ke atas wilayah Gaza yang setakat ini telah mengakibatkan kematian ratusan jiwa serta mencederakan hampir seribu orang lagi termasuk ratusan kanak-kanak. – Roketkini.com