Rencana

Belek…Konflik Israel-Palestin Mengajar Kita

SEMALAM Dewan Rakyat meluluskan sebulat suara usul mengecam Israel. Ini tiada yang baru. Ketika mengecam Israel itu boleh memberi imej yang gempak, sang Fasis pun tidak teragak-agak nak membalut keffiyeh di leher lalu melaungkan betapa bencinya terhadap penindasan. Ironi memang ada di mana-mana. Sempat juga membelek-belek teks ucapan Ketua Parlimen DAP, saudara Lim Kit Siang berkenaan hal ini. Perenggan ini ada pengajaran berguna:

“Sungguhpun begitu, kami amat kecewa dengan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang lekas membela rejim Israel dengan mengatakan bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada serangan roket militan Palestin. Bagaimana pula dengan hak rakyat Palestin untuk mempertahankan diri daripada penindasan sistematik dan keganasan tajaan rejim Israel yang membawa kematian dan kerosakan skala besar?”

Kenyataan itu menunjukkan ketegasan DAP mempertahankan hak kaum yang tertindas tidak kira tempat dan siapa yang terbabit. Konsisten itu menunjukkan DAP menjunjung prinsip kemanusiaan yang dipegang melalui ideologi Demokrasi Sosial. Tidak semua pihak mampu melepasi ujian konsisten.

Ada orang mungkin memaki hamun Israel yang menggunakan kekerasan melampau ke atas rakyat Palestin tetapi mereka sendiri bertindak keras terhadap rakyat yang tidak sebulu dengan mereka. Ada orang mungkin memaki hamun instrumen penindasan Israel tetapi dia sendiri suka dengan instrumen seperti penahanan tanpa bicara. Ada orang memaki hamun sifat perkauman Israel tetapi dalam diam melayan perkauman dalam dirinya.

Meludah ke langit!

Selain itu kita dapat lihat DAP yang progresif tidak jatuh ke dalam dilema yang pernah disebutkan Dr Farish A Noor sebagai “nurani Liberal” (Liberal conscience) dalam sebuah esei beliau mengenai konflik di Gaza. Dilema yang biasa dilontarkan adalah seperti “Israel tidak patut guna keganasan tetapi bukankah Palestin juga melancarkan roket”, atau “memang ada rakyat Palestin yang terbunuh tetapi bukankah rakyat Israel juga ada yang terbunuh”. Ini tiada bezanya dengan hujah “Memanglah pihak berkuasa bertindak ganas, tapi ada juga demonstran yang bertindak ganas” atau “Memanglah UMNO tu teruk dah, pembangkang pun sama juga kan?”.

Ini masalah yang melanda apabila ada yang bersungguh mahu jadi neutral tak kena tempat. Neutral itu cool pada mereka. Atau mungkin semata-mata kerana tidak cukup pengetahuan untuk membuat pendirian. Pendirian sebegitu cuma mengambil cebisan daripada isu, bukan melihat dengan menyeluruh.

Mereka tidak mahu memikirkan mengapa wujud penentangan bersifat militan daripada Palestin. Mereka tidak cuba memahami keadaan, suasana dan sejarah masyarakat yang menjadi punca penentangan sukar dielakkan. Hal yang sama juga boleh kita lihat di sini. Misalnya ada yang menghukum perhimpunan Bersih berdasarkan satu dua insiden. Tidak cuba meneliti dua tiga tahun kebelakang untuk memahami apa yang membawa kepada insiden itu. Tidak cuba meneliti sudut lain yang mencetuskan insiden itu.

Kita mungkin tidak dapat membantu Palestin secara terus. Namun sekiranya berusaha meneliti dan merenung, banyak yang kita boleh belajar secara terus.- Roketkini.com