Berita

BN Selangor ‘sapu’ tanah lebih RM20 juta dengan harga RM1 sekaki persegi

SHAH ALAM, 21 NOVEMBER: Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor menjadi panas apabila ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim mendedahkan Kerajaan BN Selangor ketika memerintah negeri sebelum ini membolot 23 bidang tanah bernilai lebih RM20 juta dengan harga premium hanya RM1 sekaki persegi.

Bercakap ketika membahaskan Belanjawan Negeri Selangor 2013, Suee Lim yang mewakili Kelab Penyokong Kerajaan Selangor berkata, perolehan tanah itu membabitkan 23 bidang tanah dengan keluasan 33.5 ekar.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 14 bidang tanah dimiliki UMNO, MCA (lima bidang), MIC (tiga) dan Gerakan (satu).

“Rakyat nak dapat tanah di Selangor susah. Mereka naik turun pejabat tanah untuk minta tapak tanah tetapi susah dapat. Dulu setinggan di Lembah Jaya, Berembang dihalau,

“Mereka (UMNO, MCA, MIC dan Gerakan) menggunakan kesempatan ketika memerintah untuk memboloh tanah kerajaan, sedangkan rakyat sukar menperolehnya walaupun seekar. Ini mungkin ciri-ciri sapu 1Malaysia.” sindir beliau.

Manakala pada sidang medianya di luar dewan, beliau menjelaskan bahawa enam bidang tanah yang dibolot itu adalah milik UMNO Bahagian Sungai Besar yang ketika itu diketuai oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai “projek sapu tanah” oleh kerajaan BN Selangor.

Suee Lim berkata, beliau mempunyai bukti sahih dan perkara ini akan dilapor dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

Pada 23 Disember tahun lalu, bekas Menteri Besar Selangor itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam berikutan tuduhan mendapatkan bagi diri dan isterinya dua lot tanah dan sebuah rumah dengan harga RM3.5 juta sedangkan harga sebenarnya ialah RM6.5 juta di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L Shah Alam.-Roketkini.com