Rencana

Rundingan Damai, Bukan Tindakan Ketenteraan Buat Gaza Oleh Charles Santiago

Dua hari lepas saya menyedari satu komen yang terlalu menakutkan ditujukan kepada Gaza. “Kita perlu meratakan seluruh kawasan kejiranan di Gaza. Meratakan seluruh Gaza. Amerika dahulunya tidak berhenti sekadar dengan Hiroshima – Jepun tidak menyerah kalah dengan pantas, jadi mereka juga serang Nagasaki” – Itu adalah kata-kata Gilad Sharon, anak kepada mantan Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon. Kemudian dia menambah lagi bahawa sepatutnya tidak ada apa-apa termasuk bekalan elektrik, minyak gasolin atau sebarang kenderaan bergerak, di Gaza…

Meskipun pandangan Gilad di dalam Jerusalem Post amat mengejutkan, tindakannya mengaitkan keganasan yang berterusan ke atas rakyat Gaza dengan Amerika Syarikat (AS) adalah menarik. Seolah-olah “demokrasi terbaik” sepertimana yang AS gelar dirinya tidak cukup untuk mengalihkan pandangan.

Lebih daripada 100 rakyat Palestin dan tiga rakyat Israel terkorban sejak enam hari lalu dan pada Ahad sahaja sembilan kanak-kanak terbunuh. Dan Israel mengancam untuk melakukan serangan darat namun menangguhkannya bagi memberi laluan kepada rundingan damai tajaan Mesir yang dijangka berlangsung pada Khamis. Jelas tidak ada penyelesaian ketenteraan yang sesuai untuk konflik di Gaza. Sementara strategi Mesir untuk rundingan damai itu masih belum diketahui, Hamas tidak boleh diketepikan daripada menjadi sebahagian daripada rancangannya. Ini kerana Hamas adalah kerajaan yang dipilih rakyat Palestin secara demokratik.

Hamas berjaya menguasai Gaza pada 2007, setahun selepas kemenangan muktamad dalam pilihan raya umum. Dan kini mereka menuntut dihentikan sekatan ke atas Gaza sekiranya mahukan gencatan senjata.

Sekatan yang dilakukan Israel menjerumuskan 1.5 juta rakyat ke lembah kemiskinan. Kenyataan wartawan dan saksi mendedahkan bahawa kanak-kanak terpaksa mengais bagi sesuap makanan dan hospital pula terpaksa menolak penghidap penyakit yang membawa maut kerana kekurangan bekalan perubatan dan katil. Israel membenarkan hanya sedikit makanan, perubatan dan minyak bagi memastikan orang awam terus kelaparan dan tertindas. Tidak ada tekanan dan lobi yang mampu membuatkan Israel menghentikan sekatan dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pula menjustifikasikan sekatan dengan alasan ia bertujuan mengekang kumpulan militan daripada memperoleh bekalan senjata.

Israel juga giat menyekat usaha masyarakat antarabangsa membekalkan perubatan dan makanan kepada penduduk Gaza. Tiada siapa yang dapat lupakan keganasan Israel ke atas kapal bantuan pada Jun 2010. Di atas kapal bantuan Rachel Corrie terdapat 11 aktivis pro-Palestin, sembilan awak-awak dan beratus tan bantuan ketika ia diserang di perairan antarabangsa beberapa hari selepas serangan yang lebih kurang sama berlaku.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika itu memberhentikan secara tiba-tiba tuntutan untuk diadakan siasatan bebas ke atas insiden berkenaan hanya disebabkan bantahan AS.

Tiada apa yang berubah sejak itu. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon mengatakan serangan darat Israel akan mengakibatkan kesan yang serius bukan sahaja kepada Gaza tetapi seluruh rantau, sementara negara lain menuntut dihentikan keganasan dan kebanyakkannya menyindir agar Hamas menghentikannya dahulu.

Ini bukanlah sebuah permainan catur untuk menentukan siapa sepatutnya bergerak. Tetapi satu situasi kompleks yang mana Israel memilih untuk bertindak sembarangan dengan sokongan padu daripada Amerika Syarikat. Kemarahan penduduk Gaza daripada penindasan bertahun-tahun lamanya boleh disimpulkan dengan nota yang sedang tersebar di Facebook ini:

Kau ambil airku

Bakar pohon zaintunku

Musnahkan rumahku

Rampas pekerjaanku

Curi tanahku

Penjarakan bapaku

Bunuh ibuku

Bom tanah airku

Membiarkan kami kelaparan

Mengaibkan kami

Tetapi aku yang dipersalahkan: Aku tembak sebutir roket kembali

Seakan-akan dunia menutup mata terhadap penghinaan yang diterima masyarakat Gaza sedangkan tindakan Israel dilepaskan daripada sebarang hukuman dan diredhai. Misalnya, Israel melanggar 65 resolusi PBB tanpa dikenakan sebarang tindakanl. Iraq cuma melanggar dua resolusi tetapi diserang, dibom dan dimusnahkan. Selain menyeru kedua-dua pihak untuk menamatkan keganasan dan kematian, Presiden AS, Barack Obama terus berdolak-dalih walhal beliau menghiburkan khalayak yang berkumpul di rumah pemimpin Burma, Aung San Suu Kyi dengan ucapan tentang perlunya martabat manusia dan kebebasan. Beliau juga bercakap tentang reformasi.

Obama dan rakan sejawatnya tentu sekali boleh mula menuntut Israel menghentikan keganasan dengan memberhentikan sekatan agar masyarakat Gaza dapat hidup penuh bermaruah. Agar mereka tidak lagi hidup seperti pengemis di negara mereka sendiri.

Dan lebih penting lagi pemimpin dunia dan masyarakat global perlu memastikan punca sebenar pengeboman yang semakin menjadi-jadi oleh Israel bukan bertujuan memulakan serangan ketenteraan ke atas Iran kerana program nuklearnya. Bukan lagi rahsia yang Iran tentu akan menggunakan angkatan bersenjata seperti Hamas di Gaza dan Hezbollah di Lubnan untuk menyerang kembali Israel sekiranya mereka diserang.

Harapnya pengeboman berterusan ke atas Hamas dan penduduk Gaza bukan bertujuan menguji kekuatan tentera rakan terdekat Iran itu.

Charles Santiago adalah Ahli Parlimen Klang merangkap Naib Pengerusi DAP Selangor