Berita

Syarikat dilantik KKM untung 7 peratus “duduk saja”?

KUALA LUMPUR, 22 NOV: DAP mempertikaikan tindakan syarikat pembekal ubat dan peralatan kesihatan, Oratis Services Sdn. Bhd. yang dilantik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana mengenakan komisyen hingga tujuh peratus terhadap farmasi yang berdaftar di bawahnya.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, berkata tindakan Oratis Services Sdn Bhd mengenakan komisyen sehingga tujuh peratus itu boleh menyebabkan kenaikan kos ubat dan peralatan kesihatan.

Katanya, walaupun DAP menyambut baik pelaksanaan pembiayaan ubat dan peralatan kesihatan yang dibekalkan secara percuma kepada Pesara Awam Persekutuan sejak Februari lalu, tindakan mengenakan komisyen yang tinngi itu perlu dikaji dan disemak semula kerana ia akan menyebabkan farmasi terpaksa menaikkan harga untuk menampung kos.

Nie Ching ketika Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan 2013 di Parlimen, semalam, berkata beliau tidak faham kenapa KKM perlu beri hak itu  kepada syarikat Oratis Services Sdn Bhd untuk mendapat komisyen tujuh peratus daripada keuntungan farmasi.

Beliau turut mempertikai mengenai proses tender yang dijalankan dan mengapa syarikat itu dipilih.

Oratis Services Sdn Bhd adalah perantara di antara JPA dan Pesara Awam Persekutuan bagi mendapatkan bekalan ubat dan peralatan kesihatan yang tidak dapat dibekal atau disediakan hospital atau klinik kerajaan.

Mereka yang layak boleh mendapatkan bekalan ubat atau peralatan kesihatan melalui rangkaian farmasi runcit yang berdaftar di bawah syarikat terbabit.

Sehingga kini Oratis Services Sdn Bhd yang beribu perjabat di Seksyen 15 Shah Alam mempunyai rangkaian besar farmasi yang berdaftar di bawahnya di seluruh negara.-roketkini.com