Berita

Kerajaan Malaysia ‘rosak’, mesti ‘dibaiki’ – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER: Kerajaan Malaysia yang diperintah UMNO/BN selama 55 tahun sudah ‘rosak’ sebab itu ia perlu ‘dibaiki’ segera agar tidak menjadi lebih parah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata terdapat banyak perkara yang menyebabkan kerajaan Malaysia sudah rosak antaranya badan kehakiman tidak bebas sepenuhnya serta kelemahan pada beberapa institusi utama seperti Jabatan Peguam Negara,  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

“Nasib baik kerajaan Malaysia belum rosak sepenuhnya dan jika ia tidak dibaiki segera sudah pasti ia gagal diselamatkan lagi,” katanya Ahli Parlimen Ipoh Timur itu lagi.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Himpunan Barisan 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) anjuran NGO baru-baru ini mendakwa negara tidak rosak dan tidak perlu dibaiki.

Najib berkata: “Kenapa nak baiki jika tidak ada yang rosak? Ia tidak rosak, malah jauh daripada rosak. Negara kita dicemburui oleh banyak negara lain.”

“Kita mahu badan kehakiman betul-betul bebas dan mampu melaksanakan hukuman secara adil, tidak mahu hakim dicucuk hidung, menjadikan sistem pendidikan negara terbaik dunia,” katanya.

Kit Siang juga berkata, memulihkan ekonomi negara berdaya saing setanding dengan pencapaian negara lain, termasuk Jepun, Korea Selatan, Singapura, Taiwan dan Hong Kong.

Beliau berkata, indeks jenayah di negara ini juga meningkat dan membimbangkan sedangkan kerajaan mendakwa negara ini paling selamat di rantau ini.

Masalah rasuah juga paling teruk berbanding Perdana Menteri sebelum ini walaupun GTP dan NKRA meletakkan keutamaan membanteras rasuah sebagaimana yang dinyatakan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sejak 1995 dan menjadikan kedudukan Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 41 negara seterusnya jatuh ke-60 daripada 183 negara pada 2011.

Lebih dua juta rakyat Malaysia yang bijak pandai berpindah ke luar negara sejak empat dekat lalu adalah tanda negara gagal yang perlu diganti pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti,” ujarnya.

Kit Siang juga berkata, rakyat mahukan pilihan raya yang adil dan bersih.

Beliau juga mencabar Najib membuktikan kerajaan UMNO/BN mampu melakukan ‘perubahan besar’ dengan memenuhi tiga cabaran sebagai kerajaan tidak ‘rosak’ hingga perlu “dibaiki”, iaitu:

Isytiharkan rasuah masalah nombor satu dalam UMNO dan negara serta perkenalkan         Sistem Penguatkuasaan Automatik untuk membanteras rasuah besar dengan memastikan pemimpin politik yang memiliki kekayaan yang luar biasa dan tidak akauntabel dikira sebagai rasuah menurut undang-undang dan kekayaan yang diperoleh cara salah itu dirampas negara melainkan yang tertuduh boleh membuktikan kekayaan itu            daripada hasil yang sah di mahkamah;

Buktikan keikhlasan Perdana Menteri terhadap konsep dan slogan 1Malaysia yang             mana setiap rakyat Malaysia mendahulukan kedudukannya sebagai rakyat         Malaysia dan kemudian barulah kaum, agama, status sosio-ekonomi dan kawasan dengan mengisytiharkan Ketuanan Rakyat Malaysia adalah objektif UMNO dan bukannya ketuanan Melayu; dan

Tunjukkan sifat demokratik dan kesetiaan kepada objektif menjadikan Malaysia    “demokrasi terbaik dunia” dengan mengisytiharkan UMNO menghormati hak pengundi untuk memilih mana-mana kerajaan yang     mereka mahu dan komitmen penuh akan diberi untuk memastikan peralihan kuasa berlaku dengan aman kepada Pakatan Rakyat sekiranya itulah kehendak pengundi pada pilihan raya umum ke-13. – Roketkini.com