Berita

Seksis: Wakil Rakyat UMNO-BN Celupar, Hina Wanita

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Demi menjaga martabat dan maruah Dewan Rakyat, DAP Selangor menyokong penuh sebarang pindaan terhadap Perkara 36(4) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menghalang Ahli Parlimen mengeluarkan kenyataan seksis.

Ini berikutan keceluparan seorang ADUN Batang Kali (BN), Datuk Mohd Isa Abu Kasim yang mengeluarkan kenyataan seksis dan menghina pada Sidang DUN Selangor baru-baru ini terhadap ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Tindakan Mohd Isa dipetik berkata “…jangan sampai lupa jaga hutan diri you sendiri” itu secara langsung menjatuhkan imej beliau dan maruah partinya BN.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Jenice Lee Ying Ha, Dewan adalah satu tempat untuk semua wakil rakyat berhujah dan berbahas mengenai dasar dan masalah rakyat.

“Segala kenyataan yang menghina wanita dan mengancam kehormatan wanita mesti dihalang,

“Saya juga akan mencadang Dewan Negeri Selangor supaya membincang isu ini dalam Jawatankuasa Peraturan Tetap dan berharap dengan pindaan ini Speaker dalam Parlimen dapat menghentikan segala kenyataan yang seksis dan menghukum mana-manan ahli yang melanggar peraturan itu,” ujarnya.

Penghinaan dan kenyataan seksis terhadap wanita bukan pertama kali dilakukan Ahli Parlimen UMNO-BN.

Jenice Lee yang juga ADUN Teratai, berkata Sidang Dewan Rakyat pada 2007 juga pernah menjadi hangat akibat keceluparan dua Ahli Parlimen UMNO-BN, Mohamad Said dan Bung Mokhtar yang mengeluarkan perkataan ‘bocor’. – Roketkini.com