Berita

DAP desak kerajaan laksana ruang mesra ibu bekerja

KUALA LUMPUR, 27 NOV: DAP mendesak Kerajaan Malaysia menyediakan lebih banyak bilik menyusu dan pusat asuhan kanak-kanak di pejabat kerajaan dan agensinya bagi kemudahan ibu yang bekerja.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berkata, golongan ibu yang bekerja haruslah diberi perhatian dan sokongan dengan meningkatkan kemudahan dan memperluaskan ruang yang mesra kanak-kanak dan ibu di negara ini.

“Lebih banyak kemudahan yang lebih berkualiti perlu disediakan kerajaan untuk ibu menyusu anak mereka dan pusat jagaan selaras dengan pertambahan tenaga kerja wanita di negara ini,” katanya bercakap pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Nie Ching sambil mendukung anaknya, Ginger yang berusia hampir empat bulan, berkata setakat ini hanya 71 pusat jagaan kanak-kanak disediakan di pejabat dan agensi kerajaan dan 20 pusat di sediakan pihak swasta.

Katanya, jumlah itu belum mencukupi untuk menampung keperluan kaum wanita yang bekerja di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta swasta di negara ini.

“Kami dalam Pakatan Rakyat menuntut agar kerajaan BN memberi perhatian serius terhadap perkara itu bagi menyokong kaum ibu yang bekerja. Sebagai permulaan, kerajaan boleh menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di semua jabatan dan agensi,” ujarnya.

Nie Ching yang juga Timbalan Setiusaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, tuntutan itu sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahu mencapai mencapai sasaran 55 peratus wanita bekerja pada tahun 2015.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut menyokong cadangan Nie Ching itu berkata, perkara terbaik yang perlu dilaksanakan kerajaan negeri dan persekutuan selain menyediakan kemudahan bilik menyusu ialah melengkapkan pusat asuhan kanak-kanak untuk kaum ibu.

“Contohnya di Parlimen, kemudahan itu bukan saja untuk Ahli Parlimen wanita tetapi juga untuk semua kakitangan kerajaan dan agensi yang bertugas di Parlimen,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng juga kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri sempena sambutan hari Ibu yang lalu yang kononnya menghargai kaum ibu sedangkan kemudahan untuk kaum berkenaan tidak disediakan secukupnya.

“Kami mahu sebuah ruang yang mesra ibu dan anak disediakan  di tempat kerja seperti mana yang dilaksanakan di Pulau Pinang dengan persekitaran yang mesra ibu dan anak,” tambahnya.

Menurutnya, kemudahan untuk ibu dan anak disediakan di tingkat 47 bangunan Komtar. Begitu juga di bangunan Majlis Perbandaran Seberang Perai.- Roketkini.com