Berita

Wanita DAP Selangor mahu lebih banyak calon wanita bagi PRU13

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Demi mengangkat martabat dan merealisasikan matlamat satu pertiga pembuat dasar terdiri di kalangan wanita, Wanita DAP Selangor mencadangkan parti supaya meletakkan lebih ramai calon wanita untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Cadangan itu adalah satu daripada lima usul Konvensyen Wanita DAP Selangor yang juga menyokong cadangan penubuhan Agensi Hak Sama Rata dalam pekerjaan yang bertujuan membantu golongan wanita terhadap diskriminasi yang berlaku melibatkan isu gaji, peluang naik pangkat dan kebajikan.

Selain itu, mereka turut menyokong caruman RM50 sebulan kepada suri rumahtangga yang berpendapatan RM1,500 se-isi rumah dan ke bawah sepertimana cadangan Agenda Wanita Malaysia yang digubal oleh Wanita Pakatan Rakyat.

Kementerian Pelajaran pula didesak menerapkan Falsafah Hormat Wanita dan peka gender dalam buku teks sekolah, dengan harapan generasi yang akan datang akan lebih sensitif dalam isu gender.

Wanita DAP Selangor juga menyeru Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri meningkatkan kadar guna tenaga wanita mahir dan separa-mahir daripada 46% kepada 60% melalui pendidikan dan latihan modal insan wanita.

Berucap merasmikan Konvensyen Wanita DAP Selangor di sini semalam, Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Chong Eng berkata, kejayaan DAP Selangor menubuhkan sayap wanita (selepas DAP Pulau Pinang) secara langsung mampu merapatkan jurang gender dalam bidang politik, peluang pekerjaan dan pendidikan dapat dikurangkan untuk bersaing dengan lebih sihat.

“Umumnya,  arena politik didominasi oleh kaum lelaki disebabkan golongan wanita biasanya mempunyai tanggungjawab mengurus rumahtangga dan menjaga anak.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam menjelaskan, tanggungjawab memperjuangkan hak wanita bukan sahaja terletak kepada golongan itu sahaja malah golongan lelaki juga perlu memberi sumbangan terhadapnya.

Tidak ada pemilihan jawatankuasa dijalankan kerana hanya 15 ahli dicalonkan, yakni jumlah penuh jawatankuasa. Mereka bermesyuarat secara sesama sendiri dan melantik ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh, untuk mengetuai Wanita DAP Selangor.

Berikut adalah senarai Jawatankuasa Wanita DAP Selangor:

Pengerusi: Hannah Yeoh Tseow Suan
Timbalan Pengerusi: Lee Kee Hiong
Naib Pengerusi: Prema a/p Arasan
Naib Pengerusi: Kasthuriraani a/p Patto
Setiausaha: Chang She-Yun
Penolong Setiausaha: Evelyn Gan Teng Ping
Bendahari: Loh Jean Cheah
Penolong Bendahari: Dorothy Cheong Chye Wah
Setiausaha Organisasi: Lee Shim Moi
Setiausaha Publisiti: Kwi Ai Mei
Pengarah Pendidikan Politik: Buvaneswary a/p Balasubramaniam

AJK:
– Teo Nie Ching
– Tiew Way Keng
– Chia Siu
– Law Suet Peng

– Roketkini.com