Berita

Bukan sahaja rosak, malah tidak boleh dibaiki – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER: Sekiranya Barisan Nasional (BN) dipilih semula memerintah Selangor seperti yang diramalkan Perdana Menteri, Najib Razak; aset kerajaan negeri pasti akan kembali dicabul dan dirompak.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam kenyataan medianya berkata demikian sambil mengulas tindakan penjualan tanah secara berleluasa pada harga yang teramat murah seperti yang didedahkan ADUN DAP Sekinchan, Ng Swee Lim.

Menurut beliau, sudah seminggu Swee Lim mendedahkan bagaimana BN memperoleh 24 bidang tanah bernilai tinggi di kawasan komersil dengan premium hanya RM1 sekaki persegi ketika mereka berkuasa antara tahun 2000 dan 2008. Tanah seluas 34.5 ekar itu ‘dijual’ kepada UMNO, MCA, MIC dan Gerakan dianggarkan bernilai lebih RM200 juta.

Ketua Penerangan UMNO Selangor merangkap ADUN Kuang, Abdul Sukor Idrus tanpa segan silu membela tindakan pemilikan tanah itu mendakwa tiada salah tanah berkenaan diberi kepada UMNO sebagai habuan di atas sumbangan yang diberikan UMNO dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

Setiausaha MCA Negeri Selangor merangkap ADUN Kuala Kubu Bharu juga bersetuju dengan pandangan rakannya, bahawa pemilikan tanah dengan cara itu adalah adil kerana jasa MCA memperjuangkan hak kaum Cina.

Menurut Tony, respon sebegini adalah bukti nyata bahawa BN jelas tidak memahami apa makna sebenar korupsi dan salah guna kuasa, malah langsung tidak berasa segan setelah terbukti melakukan kesalahan terbabit.

Mengulas soalan Perdana Menteri mengenai ‘mengapa perlu membaiki kerajaan yang tidak rosak’ Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, keadaan pemimpin BN yang terus membela perbuatan korup mereka bukan sahaja membuktikan kerajaan BN sudah memang rosak malah tidak boleh lagi dibaiki. – Roketkini.com