Berita

Teng dicabar letak jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang – Lim Hock Seng

Gambar Ehsan DAP Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 28 NOVEMBER: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow dicabar membuktikan kebenaran dakwaannya bahawa Kerajan Negeri Pulau Pinang sudah bersetuju membayar bekalan air mentah daripada Sungai Muda kepada Kedah.

Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Lim Hock Seng, berkata jika Teng gagal mengemukakan dokumen atau surat bukti persetujuan kerajaan negeri Pulau Pinang membayar kepada Kedah, Teng wajar meletakkan jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang.

“Dan sebaliknya, jika dia (Teng) dapat membuktikan dakwaan itu benar, saya bersedia melepaskan jawatan sebagai Ahli Exco Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Komtar, semalam.

ADUN Bagan Jermal itu juga mempertikaikan kenyataan Pengerusi BN Pulau Pinang yang dilaporkan akhbar sebelum ini didapati bercanggah mengenai perjanjian pembekalan air mentah.

Katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Janesi Maidinsa juga sudah menafikan persetujuan untuk membayar Kedah bekalan air daripada Sungai Muda.

“Dakwaan Teng itu dianggap serius dan fitnah serta mengelirukan kerana ia boleh memberi gambaran kepada umum seolah-olah Lim Guan Eng itu menipu.

“Oleh itu, saya mencabar dia buktikan kebenaran dakwaan itu, jika tidak Teng harus meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang,” ujarnya.

Lim menganggap dakwaan Teng itu adalah palsu kerana tiada sebarang perjanjian atau dokumen mengenai pembekalan air itu ditandatangani dan tiada sebarang pengumuman mengenai bayaran itu dibuat Kerajaan Negeri Pulau Pinang termasuk dalam Bajet Negeri 2013 yang diluluskan baru-baru ini.

Katanya, Ketua Menteri juga sudah menelefon Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan mengesahkan tiada dokumen bertulis daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menyatakan persetujuan berkenaan.

“Jika kerajaan negeri Kedah sudah memasukkannya sebagai hasil dalam bajet mereka, maka Teng harus memperolehi penjelasan daripada pihak kerajaan negeri berkenaan.

“Kini integriti Teng dipertaruhkan, bolehkah dia buktikan persetujuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membayar negeri Kedah dengan dokumen bertulis. Jika dia boleh, saya yang akan letak jawatan dan jika tidak, Teng harus meletakkan jawatan dan bertanggungjawab penuh fitnah jahat untuk memenangi pilihan raya umum yang akan datang,” katanya. – Roketkini.com