Berita

DAPSY serah dokumen hak milik tanah ‘skim cepat kaya’ BN Selangor.

SHAH ALAM, 6 DISEMBER: Pemuda DAP (DAPSY) Selangor hari ini menyerahkan dokumen berkaitan skandal pemilikan 24 bidang tanah pada harga rendah oleh parti komponen Barisan Nasional di Selangor, kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dokumen carian hak milik tanah yang diserahkan kepada SPRM itu menunjukkan bahawa daripada 24 bidang tanah itu, 15 bidang dimiliki UMNO Selangor, MCA (lima), MIC (tiga) dan Gerakan (satu).

Bercakap pada sidang media di perkarangan pejabat SPRM Selangor, Timbalan Ketua DAPSY Selangor, Tiew Way Keng yang juga seorang peguam turut menerangkan bahawa wujud satu lot tanah di Klang yang hak miliknya dikongsi antara UMNO Kota Raja dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Lot tanah terbabit yang berstatus bangunan perniagaan mempunyai tujuh bahagian, tiga daripadanya dimiliki MBSA dan bakinya dimiliki UMNO Kota Raja.

“Ini nampak tidak berapa normal,” ujar Tiew dalam siri pendedahan skandal penjualan tanah kepada BN Selangor ketika negeri terkaya di Malaysia itu diperintah BN.

Bulan lalu, ADUN DAP Sekinchan, Ng Suee Lim mendakwa bahawa BN Selangor membeli 24 bidang tanah di negeri itu pada harga premium sekadar RM1 sekaki persegi.

Berikutan pendedahan itu, Ahli Parlimen DAP bagi Petaling Jaya Utara, Tony Pua pula minggu lalu mendedahkan bahawa tanah yang diperoleh UMNO Subang pada 2004 pada harga RM1 sekaki persegi kini sudah bernilai RM200 sekaki persegi.

Menurut beliau lagi, tanah di Kelana Jaya itu dijual pada kadar RM1 sekaki persegi atau sejumlah RM87,000, di bawah harga pasaran iaitu bernilai RM17.5 juta.

Bagi menafikan dakwaan DAP, BN Selangor sekadar mampu berkata bahawa tanah terbabit digunakan untuk membina tadika, dewan komuniti dan untuk perkhidmatan kemasyarakatan. Dalam sidang DUN Selangor yang lalu juga, pihak BN mempertahankan pemilikan tanah berkenaan sebagai sah memandangkan Barisan Nasional telah banyak berjasa dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

“Namun, apa yang berlaku, tanah yang dibeli UMNO Selangor itu dijual kepada pemaju untuk didirikan kondominium,” ujar Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP ketika melawat tapak berkenaan yang kini dimajikan dengan projek kondominium Suria Damansara membabitkan 200 unit kondominium berharga sehingga RM450,000 seunit.

Pua turut menambah, nilai pembangunan 200 unit kondominium berkenaan dianggarkan melebihi RM900 juta, dengan setiap unit bernilai hingga RM450,000.- Roketkini.com