Berita

Utusan fitnah lagi, Guan Eng terpaksa saman

GEORGE TOWN, 7 DISEMBER: Utusan Malaysia nampaknya tidak serik-serik apabila berhadapan tindakan undang-undang lagi lantaran tindakannya menyiarkan fitnah jahat terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Dalam kenyataan medianya, Pegawai Khas Undang-undang Ketua Menteri, Andrew Yong, berkata Guan Eng akan mengarahkan peguamnya untuk memfailkan saman malu terhadap Utusan Malaysia kerana menyiarkan berita fitnah terhadap beliau kononnya beliau telah menerima rasuah.

Akhbar milik UMNO tersebut telah menyiarkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin bahawa Guan Eng telah menerima rasuah dengan ayat, “Guan Eng perlu faham rasuah juga merangkumi skop penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah seperti banglo mewah yang disewanya daripada seorang pengarah berkepentingan dalam KLIDC belum terjawab.”

Ketua Pemuda UMNO tersebut telah sebelum ini memfitnah Guan Eng kononnya menerima rasuah daripada Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd (KLIDC); sekarang pula ia menambah bahawa Ketua Menteri menyewa rumah daripada Pengarah KLIDC.

“Rumah yang disewa oleh Ketua Menteri tidak dimiliki oleh pengarah ataupun pemegang saham KLIDC.

“Tuanpunya rumah sewa Ketua Menteri tidak pernah membuat pembidaan pun ke atas tanah yang dimenangi oleh KLIDC secara tender terbuka, baik secara individu peribadi mahupun menerusi mana-mana syarikat sebagai pemegang saham atau ahli lembaga pengarah.

“Fitnah jahat Shaik dan Utusan Malaysia semata-mata suatu rekaan kosong demi mencapai niat jahat politik menjelang pilihanraya besar yang akan datang,” ujar Yong.

Beliau menambah bahawa saman malu yang akan difailkan terhadap Shaik dan Utusan Malaysia bakal membuktikan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang tidak akan menunduk kepada desakan pertubuhan rasis UMNO, dan tidak takut akan UMNO dan Utusan.

“Cara yang paling baik untuk menentang fitnah pemimpin UMNO yang cakap tak serupa bikin adalah dalam mahkamah supaya bukti dapat diberikan secara hitam putih tanpa sebarang keraguan,” katanya.

Utusan Malaysia sudah dua kali disaman oleh Guan Eng atas sebab menyebarkan fitnah terhadap beliau. Kedua-dua keputusan mahkamah telah berpihak kepada Setiausaha Agung DAP itu.

Namun, Utusan terus menabur fitnah terhadap Guan Eng, DAP dan para pemimpin Pakatan Rakyat, menimbulkan persoalan siapa yang mendalangi Utusan sehingga berani memfitnah dan berbohong serta melacurkan amalan kewartawanan di Malaysia. – Roketkini.com