Berita

Cabar Najib minta maaf kerana rekod buruk rasuah – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 10 DISEMBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencabar Perdana Menteri, Najib Razak memohon maaf kerana rekod buruk dan kegagalan membanteras rasuah sehingga kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) Malaysia terendah dalam empat tahun berturut-turut sejak 2009 hingga 2012.

Beliau juga kecewa kerana Malaysia gagal meraikan Hari Anti-Rasuah Antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meningkatkan kesedaran mengenai rasuah dan Konvensyen PBB Menentang Rasuah dalam melawan dan mencegah rasuah.

“Hari Anti-Rasuah Antarabangsa ke-9 pertama kali didakan pada 2004, Kerajaan Malaysia terus tidak mempedulikannya – mencerminkan kurangnya komitmen dan kesungguhan politik untuk membanteras rasuah, terutamanya “rasuah besar” pemimpin politik dan kerajaan,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau sungguh kecewa dengan kegagalan kerajaan “reformasi” Najib meraikan Hari Anti-Rasuah Antarabangsa tahun ini sedangkan sepuluh hari lalu Najib meminta maaf kerana pelbagai kesilapan kerajaan UMNO/BN pada masa lalu, yang diungkap dengan kata-kata penuh berbunga.

Sehubungan itu, beliau mahu Najib turut memohon maaf kerana rekod buruk Malaysia dalam membanteras rasuah ketika di bawah pengawasannya sebagai PM dalam empat tahun berturut-turut itu.

“Ketika CPI TI pertama diperkenalkan pada 1995, Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 41 negara. Saya masih ingat lagi kecaman oleh Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad ketika itu yang menuduh sebagai sebahagian daripada konspirasi “orang putih” Barat untuk memburuk-burukan negara Asia kerana NGO anti-rasuah antarabangsa itu berpusat di Berlin.

“Yang ironinya beberapa bulan selepas beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri pada Oktober 2003, Mahathir menyatakan perkara berbeza iaitu Malaysia perlu membandingkan sikap awamnnya dengan Finland, yang merupakan negara paling kurang rasuah dan paling beretika di dalam CPI TI untuk tiga tahun berturut-turut ketika itu.

“Memberikan pengiktirafan kepada CPI TI, Dr Mahathir menyeru negara untuk mensasarkan “menjadi antara negara yang mendapat kedudukan tertinggi” – yang bermaksud antara negara paling kurang rasuah.

“Apabila Mahathir meletakkan jawatan, kedudukan Malaysia pada 2003 merosot daripada tempat ke-23 pada 1995 kepada tempat ke-37.

“Dan dalam tempoh lima tahun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, CPI TI Malaysia menjunam 10 tangga lagi daripada 37 ke tangga 47 pada 2008 walaupun Pelan Integriti Nasional lima tahun Abdullah adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya tempat ke-30 pada 2008.

“Ketika Najib menjadi Perdana Menteri, Malaysia jatuh ke kedudukan paling teruk CPI TI selama empat tahun berturut-turut iaitu tempat ke-56 pada 2009 dan 2010, ke-60 pada 2011 dan ke-54 pada 2012 – mengesahkan di bawah Najib, Malaysia lebih korup berbanding dua Perdana Menteri sebelumnya iaitu Mahathir dan Abdullah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Najib tidak bersedia untuk memohon maaf atas “kekhilafan” dan “kegagalan” di bawah pemerintahannya, siapa akan percaya yang Najib ikhlas “memohon maaf dengan menyusun jari sepuluh” atas “kekhilafan” kerajaan UMNO/BN sebelum ini.

Kit Siang berkata, dengan rekod anti-rasuah sedemikian, sekalipun memberi keutamaan tertinggi terhadapnya di dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan NKRA, Hari Anti-Rasuah Antarabangsa sepatutnya diraikan oleh Najib dengan pengumuman inisiatif baru yang bermakna daripada kerajaan UMNO/BN.

Bagaimanapun, katanya, semua itu tidak berlaku, dan Hari Anti-Rasuah Antarabangsa terus tidak dipedulikan Perdana Menteri dan Kabinetnya – jelas UMNO/BN tidak serius untuk membanteras rasuah yang semakin buruk di Malaysia sebaliknya sekadar melaungkan slogan dan retorik.

Beliau juga mahu Najib kenal pasti dan perincikan “kekhilafan” yang dilakukan UMNO/BN selama ini sehingga sanggup memohon maaf kerana penyalahgunaan kuasa, rasuah, kronisme dan kurang akauntabiliti; hancurnya kebebasan, kesaksamakan, intergriti dan profesionalisme institusi utama negara baik perkhidmatan awam, badan kehakiman, polis, suruhanjaya pilihan raya atau agensi pencegahan rasuah; perpecahan kaum dan agama yang semakin meruncing di dalam negara atau memohon maaf untuk rampasan kuasa yang tidak sah dan tidak demokratik negeri Perak daripada Pakatan Rakyat pada Febuari 2009. – Roketkini.com