Berita

Syarikat kroni tidak berpengalaman bolot anugerah kawal jalur lebar

KUALA LUMPUR, 10 DISEMBER: DAP mempertikai tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) minggu lalu yang menganugerahkan lesen dan kuota 40MHz jalur lebar (bandwith) untuk 4G-LTE kepada syarikat kroni Puncak Semangat yang dimiliki ahli perniagaan berpengaruh, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

“Mengapa syarikat itu mendapat keistimewaan daripada MCMC sedangkan ia tidak mempunyai sebarang rekod dalam industri berkaitan malah kedudukan kewangannya juga boleh dipertikaikan.” kata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam satu kenyataan.

Menjelaskan lanjut mengenai anugerah lesen kepada Puncak Semangat, Pua berkata, meliputi pemberian geran sebanyak 20MHz kepada semua tujuh pengusaha jalur lebar di Malaysia iaitu Maxis Broadband Sdn Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, U-Mobile Sdn Bhd, Redtone Marketing Sdn Bhd, YTL Communications and Packet One Networks (M) Sdn Bhd.

Beliau yang kecewa dengan tindakan MCMC berkata, badan kerajaan itu tidak mengambil iktibar daripada kontroversi yang pernah berlaku terhadap perkhidmatan rangkaian 3G dan WiMAX yang kurang memuaskan kerana syarikat yang mengawal selia rangkaian itu tidak berpengalaman dan gagal memberi khidmat yang baik.

“Tindakan itu sekadar untuk mendapat keuntungan mudah semata-mata,” katanya.

Tambah Pua, masalah sebegini akan terus berlaku sekiranya penganugerahan lesen di Malaysia dilakukan tanpa melalui proses bidaan seperti di negara lain.

“Proses ini penting kerana ia bukan sahaja akan memastikan hanya syarikat yang komited berjaya tetapi akan meningkatkan pulangan yang baik kepada kerajaan sendiri.” kata Pua.

Kerajaan hilang pendapatan

Dalam perkara yang sama, Pua memberi contoh bagaimana sebuah entiti bebas yang mengatur selia komunikasi di United Kingdom menetapkan harga rizab lelong sebanyak GBP1.3 bilion untuk lessen 4G-LTE yang mana ia meningkatkan pendapatan kerajaan daripada GBP3 bilion kepada GBP4 bilion.

“Pada 2010, pembida tertinggi di German ialah Euro 7.5 bilion untuk dua blok kelebaran bagi 800MHz. Sebelumnya pada 2008, Sweeden mula melaksanakan bidaan secara elektronik selama 16 hari untuk sembilan lesen 15 tahun 4G dengan jumlah 190MHz jalur lebar, menariknya, bidaan minimum yang ditetapkan ialah SEK50,000,000 tetapi ia dibida dengan nilai tertinggi AS$314 juta.

Tetapi bagi Pua, apa yang berlaku di Malaysia memperlihatkan pengatur selia komunikasi cuma berminat meningkatkan keuntungan syarikat telekomunikasi.

“Sudah jelas kerajaan hilang peluang meningkatkan pendapatan negara yang boleh dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan mahu pun kemudahan lain seperti rumah mampu milik dan lebuhraya tanpa tol,

“Pakatan Rakyat akan memastikan semua lesen yang diberi kepada badan pengatur selia khususnya membabitkan tenaga dan telekomunikasi dianugerahkan dengan cara terbuka, telus dan berdaya saing,

“Ia bertujuan memastikan hanya tawaran terbaik memenangi lesen. Kerajaan juga akan dapat memaksimumkan hasil negara untuk dalam kepentingan rakyat.” katanya.-Roketkini.com