Berita

“Golongan muda harus persiapkan diri, sedia tamatkan riwayat BN”- Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 10 DISEMBER: Ketua Pemuda DAP (DAPSY), Anthony Loke meminta agar sayap parti itu mempersiapkan diri menjadi pemimpin golongan muda untuk melakar sejarah menamatkan riwayat politik Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 nanti.

Katanya, Ini kerana PRU-13 nanti bakal menyaksikan “pengundi baru” yang paling ramai dalam sejarah pilihan raya negara ini.

“Mengikut perangkaan dari SPR, 2.9 juta pengundi baru mendaftar sejak Mac 2008 yang kebanyakannya adalah golongan muda.” katanya.

Bagi mencapai matlamat itu, Loke berkata, DAPSY perlu sentiasa peka dengan kehendak golongan muda dan menjuarai sebarang isu berlandaskan fakta, hujah dan pengetahuan yang luas, bukannya melalui politik samseng dan politik fitnah dengan tuduhan melulu tanpa asas sepertimana menjadi amalan BN.

“DAPSY perlu jujur memperjuangkan agenda Malaysia melangkaui batas kaum serta mempertahankan kepentingan rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit, latar belakang agama mahu pun wilayah,” katanya.

Berdasarkan penyertaan memberangsangkan golongan muda yang semakin berani bersuara, Loke berkata, ia menunjukkan golongan muda semakin peka dan prihatin terhadap isu urus tadbir yang baik, ketelusan dan kesaksamaan dasar kerajaan, hak asasi manusia dan paling utama sekali, isu alam sekitar yang menjejaskan kelestarian bumi untuk generasi masa hadapan.

“Fenomena yang cukup memberangsangkan ini sudah tentu lahir daripada kesedaran politik yang tinggi di kalangan anak muda Pasca 8 Mac 2008 yang memberi satu nafas dan pengertian baru dalam sistem demokrasi kita,

“Kita dapat lihat penyertaan golongan muda dalam Himpunan Bersih 2.0 dan 3.0, Himpunan Hijau serta Green Walk Anti-Lynas yang disertai dan didokong oleh anak muda merupakan manifestasi terhadap perkembangan fenomena baru ini di Malaysia.” jelasnya.

“Usah gusar dengan Pemuda BN”

Demi menyelamatkan Malaysia daripada terus dibelenggu gejala rasuah yang kritikal dan salah guna kuasa, beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, bahawa tidak ada apa yang perlu digusarkan mengenai Pemuda BN apalagi kalau ia Pemuda MIC dan Gerakan.

“Suara Pemuda UMNO yang berpengaruh pada satu ketika dulu sudah semakin pudar dan kehilangan taringnya sehingga desakan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan AES pun tidak diendahkan oleh kerajaan pimpinan parti mereka sendiri,

“Ketuanya pula langsung tidak diberi kepercayaan oleh Presiden partinya sehingga tidak dilantik dalam Kabinet. Pemuda MCA pula semakin hari semakin tidak relevan di kalangan golongan muda apatah lagi ketuanya yang hanya pandai menangis di khayalak ramai untuk menaruh simpati politik. “ jelas Loke.

Tambahnya, misi DAP pada PRU-13 ialah memimpin dan membawa rakyat menuju ke arah cita-cita yang diidamkan bersama dan bukannya bermain dengan sentimen yang boleh merosakkan perpaduan kaum.

“Rakyat Malaysia khasnya golongan muda mengimpikan sebuah kerajaan yang mengutamakan kecekapan, akauntabiliti, ketelusan dan bebas daripada rasuah,

“Kita juga mahu menikmati alam sekitar yang segar dan lestari, perumahan yang selesa, sistem pengangkutan awam yang cekap, keadaan persekitaran yang selamat, perkembangan kesenian dan kebudayaan selain hak asasi manusia sejagat yang sentiasa terjamin.”

Justeru itu, beliau meminta semua kepimpinan dan keahlian DAPSY memperkuatkan semangat juang untuk menghadapi PRU-13 dengan menyakinkan pengundi khususnya golongan muda untuk menyokong perubahan.

“Muda dalam hati, muda fizikalnya”

Untuk mengekalkan DAPSY sebagai satu sayap belia yang benar-benar muda yang memahami citarasa dan aspirasi golongan muda di Malaysia, Loke berharap agar seluruh kepimpinan DAPSY bukan saja perlu “muda dalam hati” tetapi mesti “muda dari segi fizikal”.

Beliau melakukan kejutan apabila secara sukarela melepaskan jawatannya sebagai Ketua DAPSY pada usia 35.

“Dengan sukacitanya saya ingin mencadangkan supaya usia ahli DAPSY diturunkan daripada umur 40 kepada 35 tahun,

“Cadangan ini sudah mendapat kelulusan Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY dan saya berharap ia dapat diluluskan perwakilan dalam usul pindaan Perlembagaan DAPSY nanti.” ujar beliau.-Roketkini.com