Berita

Konsep 1Malaysia Najib tidak dapat sokongan pemimpin UMNO – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 10 DISEMBER: Perdana Menteri, Najib Razak menyembunyikan kegagalannya mendapat sokongan pemimpin UMNO terhadap dasar 1Malaysia sebagai tindakan yang disengajakan supaya lebih ramai orang menerima konsep itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata, 1Malaysia kini hanya menjadi gimik untuk UMNO-BN memenangi PRU-13 bermula dengan pemberian kemeja-T 1Malaysia, buku nota 1Malaysia, tangki air 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan bantuan tunai BR1M.

Katanya, sebenar UMNO masih komited kepada ideologi eksklusif ketuanan Melayu yang bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang sepatutnya lebih inklusif.

“Ini digambarkan melalui Perhimpunan Agung UMNO yang mana perwakilan UMNO berdiri dan menangis tersentuh dengan persembahan ‘Anak Kecil Main Api’ oleh perwakilan Kelab UMNO luar negara, lagu yang meratapi nasib orang Melayu yang dipinggirkan di atas tanah airnya sendiri.

“Lagu itu dicipta oleh bekas Ketua Biro Tata Negara (BTN), diajar kepada semua peserta kursus BTN, diwajibkan kepada semua pelajar sebelum memasuki pusat pengajian tinggi tempatan atau luar negara dengan biasiswa kerajaan,” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu dalam kenyataan medianya.

Beliau juga mencabar Najib menjawab tiga persoalan yang timbul iaitu:

• UMNO sepatutnya bertanggungjawab terhadap nasib orang Melayu yang dipinggirkan di negara sendiri selepas 55 tahun Merdeka, selepas 42 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan setengah abad UMNO dominasi kuasa politik.

• Dasar dan konsep 1Malaysia sepatutnya tumpuan diberi terhadap golongan dipinggir dan didiskriminasikan dalam negara sendiri daripada kalangan rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina , India, Orang Asal, Kadazan atau Iban dan bukan hanya satu komuniti?

• Bukti terbaik bahawa Biro Tata Negara menjadi agensi utama di dalam kerajaan menanam rasa anti-1Malaysia?

“Sekarang transformasi apa yang sedang Najib katakan apabila dia tidak mampu membuatkan Perhimpunan Agung UMNO menyokong dasar 1Malaysia setelah empat tahun menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO,” katanya dalam kenyataan media.

Dalam wawancara bersama Malay Mail, ketika ditanya mengenai “kumpulan yang skeptik dengan 1Malaysia di dalam UMNO sendiri”, Najib mendakwa beliau sengaja tidak mentakrifkan konsep itu secara jelas sebaliknya mendakwa “konsep 1Malaysia kini difahami dengan jelas”
Kit Siang berkata, pada Febuari 2010, ketika berucap pada Persidangan Ekonomi 1Malaysia, Najib sedih dengan pelbagai salah faham terhadap konsep 1Malaysia yang diperkenalkan ketika menjadi Perdana Menteri pada April 2009.

“Jelas sejak awal lagi Najib tidak mendapat sokongan pemimpin UMNO dan Kabinet terhadap Dasar 1Malaysia, kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menolak dasar 1Malaysia secara terbuka dengan mengisytiharkan dirinya “Melayu dahulu kemudian barulah rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Yang membimbangkan Najib kerana Muhyiddin mendapat sokongan ‘tok dalang’ UMNO, Tun Dr Mahathir yang secara terbuka menyatakan tidak faham dengan konsep 1Malaysia Najib dan mendakwa Malaysia menjadi lebih perkauman daripada biasa. – Roketkini.com