Berita

Najib buat janji ‘kitar semula’ cuba perbodoh rakyat Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 10 DISEMBER: DAP menganggap janji Perdana Menteri Najib Razak untuk membina sekurang-kurangnya 20,000 rumah mampu milik dan monorel di Pulau Pinang jika berjaya menawan semula negeri itu pada PRU-13 sebagai satu penghinaan terhadap rakyat negeri berkenaan.

Setiausaha Antarabangsa Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong  mempertikaikan kredibiliti janji kerajaan BN yang sering membuat‘janji kosong’ itu.

“Sebelum ini pun ketika BN memerintah mereka juga berjanji perkara yang sama,

“Malangnya, semua janji itu adalah janji “kitar semula”. Ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, BN juga berjanji akan membina sistem pengangkutan monorel pada 2006 tetapi hingga sekarang janji itu tidak ditepati,

“Begitu juga dengan pengumuman dalam Rancangan Malaysia ke 10 pada 2010 di mana Najib pernah mengumumkan  mahu menambah 200 bas baru kepada  RapidPenang tetapi akhirnya ia sekadar janji kosong.” jelasnya.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, wujud pula dakwaan bahawa janji untuk menambah bas RapidPenang sudah dipindahkan untuk RapidPahang.

“Apapun, jika Perdana Menteri ikhlas, pengumuman projek yang dibiayai sumber persekutuan haruslah dilaksanakan segera tanpa mengira siapa yang mentadbir negeri,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar BN Pulau Pinang menghentikan mainan politik ugut yang dianggap seolah-olah memperbodohkan rakyat Pulau Pinang.

“Kerajaan BN Persekutuan boleh berjanji itu dan ini, mereka mempunyai peruntukan sebanyak RM252 bilion untuk 2013 berbanding Belanjawan Pulau Pinang hanya RM1.1 bilion.” kata Chin Tong.
Beliau meminta semua pengundi di Pulau Pinang agar mengundi Pakatan Rakyat, kerana PR bertekad melaksanakan dasar bebas rasuah, kronisme dan nepotisme malah sudah dibuktikan sejak lebih empat tahun memerintah negeri.

“Jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan, kita akan menawarkan perkhidmatan dan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat Pulau Pinang.” katanya. Roketkini.com