Berita

CPI TI Malaysia lebih parah tahun depan kerana UMNO-BN sedia tabur berbilion ringgit untuk kekal kuasa pada PRU-13

KUALA LUMPUR, 11 DISEMBER: Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparancy International (TI) lebih parah tahun depan kerana UMNO-BN bersedia menaburkan berbilion ringgit untuk mengekalkan kuasa pada PRU-13 nanti.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, rakyat Malaysia sepatutnya bimbang dengan kedudukan CPI yang akan menjadi lebih buruk kerana UMNO-BN akan amalan politik wang berterusan hingga ke satu paras baru sejarah negara tahun depan.

“Saya tahu CPI 2012 merangkumi data terkumpul antara Disember 2011 dan September tahun ini, bermakna kedudukan Malaysia akan lebih buruk jika rasuah yang didedahkan pada Oktober dan November tahun ini juga diambil kira, terutamanya skandal “sumbangan politik RM40 juta kepada UMNO Sabah” membabitkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan ahli perniagaan balak Sabah, Michael Chia serta pendedahan kekayaan luar biasa berjumlah RM64 bilion milik keluarga Tan Sri Taib Mahmud (dan hampir RM46 untuk dirinya seorang) sepanjang 30 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak oleh yayasan Bruno Manser,” katanya.

Bagaimanapun, Kit Siang berkata, pada Perhimpunan Agung UMNO, sebilangan perwakilan UMNO Sabah memberitahu portal berita bahawa meskipun mereka menyokong sepenuhnya Musa Aman, mereka samar tentang “sumbangan politik” RM40 juta kepada UMNO Sabah dan menuntut Musa menjelaskan isu berkenaan.

Katanya, sepanjang tempoh lima hari persidangan itu, Musa berjaya mengelak daripada media dan sehingga hari ini masih belum memberi penjelasan memuaskan mengenai “sumbangan politik kepada UMNO Sabah” sebanyak RM40 juta.

“Ada perwakilan UMNO menolak kontroversi itu dengan alasan sumbangan RM40 juta adalah sedikit berbanding berjuta-juta yang UMNO taburkan ketika pilihan raya – dengan pendedahan seorang perwakilan UMNO Sabah bahawa di kawasan Putatan, UMNO akan berbelanja sehingga RM6 juta ketika pilihan raya.

“Dengan 26 kawasan Parlimen di Sabah (dan Labuan) dan dengan purata RM6 juta untuk setiap kawasan, jumlah belanja pilihan raya keseluruhannya akan melebihi RM150 juta pada peringkat Parlimen, yang mana akan meningkat dua kali ganda apabila perbelanjaan pilihan raya di kawasan dewan undangan negeri diambil kira,” ujarnya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimenj Ipoh Timur berkata, dengan UMNO-BN membelanjakan sekurang-kurangnya RM300 juta di Sabah, dan RM300 juta di Sarawak, dan belanja pilihan raya yang sama untuk 165 kerusi Parlimen dan 441 kerusi Dewan Undangan Negeri di semua 11 negeri di Semenanjung, UMNO-BN akan membelanjakan berbilion ringgit untuk kekal berkuasa dan mendapatkan semula majoriti dua pertiga Parlimen dan untuk menawan semula negeri diperintah Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Kedah serta mengekalkan pemerintahan tidak mengikut perlembagaan di Perak dan mengekalkan kuasa di negeri lain.

Menurutnya, berbilion ringgit yang dibelanjakan UMNO/BN pada PRU-13 akan menjadikan masalah rasuah berleluasa pada lima tahun akan datang selepas PRU-13 sekiranya UMNO/BN kekal di Putrajaya kerana mereka yang menyumbangkan kepada perbelanjaan pilihan raya mengharapkan balasan selepas PRU-13, sepuluh kali ganda kalau tidak pun seratus kali ganda.

“Atas alasan itu saya katakan tahun depan akan menjadi tahun petaka buat CPI TI Malaysia. Tidak hairan mengapa kerajaan Najib tidak bersedia menyambut Hari Anti-Rasuah Antarabangsa semalam yang ditentukan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak sembilan tahun lalu,” katanya.

Kit Siang berkata, sepanjang tempoh Najib menjadi Perdana Menteri, empat tahun berturut-turut (2009-2012) kedudukan CPI Malaysia mencatat kedudukan rendah berbanding dua Perdana Menteri sebelumnya iaitu Tun Mahathir dan Tun Abdullah.

“Pada tahun pertama 1995, CPI TI Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 41 negara, menjunam ke-37 pada 2003 ketika Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri.

“Meskipun berdegar-degar Abdullah dikaitkan dengan imej “Mr Clean” dan ”Hakim Bao Zaman Moden”, “pencegahan rasuah secara menyeluruh” dan “penahanan 18 ‘ikan besar”, CPI TI Malaysia masih terus menjunam dalam tempoh lima tahun Abdullah menjadi Perdana Menteri, jatuh ke tangga 47 pada 2008.

“Dan empat tahun Najib menjadi Perdana Menteri memperlihatkan CPI TI Malaysia menjunam ke paras lebih rendah – tangga ke-56 pada 2009 dan 2010, ke-60 (2011) dan 54 (tahun ini).

“Kesannya, sepanjang tempoh itu Najib mempunyai rekod buruk menjadi lebih korup berbanding lima Perdana Menteri sebelumya, memandangkan tiada yang menyatakan rasuah di bawah tiga Perdana Menteri awal iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein lebih serius berbanding pengganti mereka.

“Sehingga tahun 70an, skandal terbesar di Parlimen adalah skandal RM65 juta Bank Rakyat yang saya bahaskan di Parlimen pada 1979.

“Sejak tahun 80an, skandal rasuah dan kewangan meningkat dengan mendadak daripada skandal RM2.5 bilion Bumiputra Malaysia Finance (BMF), skandal RM600 juta Maminco untuk menguasai pasaran timah dan skandal koperasi kewangan RM1.5 bilion, sehingga skandal pertukaran asing RM30 bilion Bank Negara dan skandal RM11 bilion Perwaja pada 90-an, dan terkini adalah skandal berbilion ringgit Scorpene dan perolehan pertahanan dan skandal RM12.5 bilion Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ),” katanya.

Kit Siang berkata, dengan perubahan pada metodologi dalam CPI TI terbaru, tidak boleh membandingkan CPI TI 2012 dengan CPI TI sebelumnya sepanjang 17 tahun daripada 1995-2011.

Katanya, kesannya, tiada siapa berhak mendakwa Malaysia menunjukkan kemajuan pada usaha pencegahan rasuah daridapa CPI TI 2012, walaupun itu yang pemimpin UMNO/BN sedang lakukan.

Bagaimanapun, menurutnya, seperti yang dianalisa lebih awal, apa yang tidak dapat dipertikai dan tidak dapat dinafikan adalah rasuah di bawah pemerintahan Najib selama empat tahun lebih teruk daripada tempoh 51 tahun Malaysia berada di bawah lima Perdana Menteri sebelum ini.-Roketkini.com