Rencana

Kosmopolitanisme Melayu dalam karya P Ramlee

FORUM NUSANTARA 7

Kosmopolitanisme Melayu dalam karya P Ramlee:
Melihat Dimensi identiti Melayu yang Lain

11 Disember 2012 (Selasa) | 8:00 malam-10:30 malam
Dewan Pembangunan Siswa 2, Kompleks Cahaya, Universiti Sains Malaysia,

 

Ucapan Pembukaan

Oleh : Sdr. Zairil Khir Johari, CEO Penang Institute

 

Wacana pada malam ini yang bertajuk, “Kosmopolitanisme Melayu dalam karya P Ramlee: Melihat dimensi identiti Melayu yang lain” merupakan acara pertama dalam Festival P Ramlee anjuran Penang Institute yang akan berlangsung selama sebulan. Pelbagai lagi aktiviti akan diadakan, termasuk forum yang lain, pertandingan esei, tahlil peringatan, pameran khas, pesta rakyat, pertandingan nyanyian, permain tradisional dan lain-lain lagi. Festival P Ramlee ini merupakan suatu usaha yang bertujuan bukan sahaja untuk meraikan tetapi juga untuk mencetuskan ilham baru mengenai hasil karya tokoh seniman yang disanjungi ramai.

Hadirin sekalian,

Apabila tokoh yang bernama P Ramlee ini menjadi tajuk perbualan, tidak kiralah sama ada di kalangan tua atau muda, miskin atau kaya, seringkali wujud sepersetujuan antara semua bahawa beliau merupakan seniman negara yang tiada tolok bandingannya – mungkin kerana mutu karyanya yang terlalu agung hingga tidak tergapai oleh pengkarya kontemporari atau kerana kerendahan mutu karya zaman kini sehingga gagal menyaingi hasil karya P Ramlee yang tetap menarik dan memukau sehingga ke hari ini.

Sememangnya, P Ramlee adalah lagenda yang harus dihargai. Namun beliau bukan mitos suci yang harus dipuja dengan buta. Seharusnya wujud sisi kritis untuk membahaskan P Ramlee dan karyanya dengan lebih adil – adil untuk masa kini, masa silam dan juga masa hadapan.

Maka pada malam ini, kita tidak mahu hanya bersentimental dengan P Ramlee. Sebaliknya kita mahu mengupas dan membedah karya Seniman Agung ini dari sudut intelektual, dengan tumpuan kepada soal identiti Melayu.

Pada saya, watak Melayu di tangan P Ramlee adalah amat menarik. Ia tidak pernah apologetik atau taksub kepada kerangka kebudayaan yang jumud sebaliknya merangkumi kebudayaan dunia yang lebih besar – daripada telatah Labu dan Labi dalam kelab malam kepada bandar Isketambola yang penuh dengan “saudagar-saudagar, hartawan-hartawan, bangsawan-bangsawan, dermawan-dermawan, yang makan di pinggan, minum di cawan.”

Melayu P Ramlee juga sentiasa berjiwa besar. Dalam Tiga Abdul, walaupun ditindas oleh abang-abangnya Abdul Wahab dan Abdul Wahib serta bapa mertua yang keji, Ismet Ulam Raja, Abdul Wahub iaitu watak yang dimain oleh P Ramlee, tidak membalas jahat dengan jahat. Sebaliknya Abdul Wahub sentiasa bersenang hati dalam mengatasi segala cabaran yang ditimpa ke atasnya.

Dalam Nujum Pak Belalang pula, kita dapat melihat bagaimana P Ramlee dengan cara sinis mengkritik pelbagi amalan tradisional Melayu seperti kebergantungan kepada bomoh dan ketaatan babi buta kepada istana. Pun begitu, walaupun Si Nujum berjaya menemberang sultan dan mempermainkan istana, ia tetap setia mempertahankan kedaulatan negara, malah pada akhirnya menjadi orang kanan sultan.

Apakah watak-watak ini mencerminkan susuk P Ramlee sendiri? P Ramlee yang berketurunan Acheh, lahir dan membesar di Pulau Pinang, kemudian bekerja dengan tauke besar filem Singapura, Shaw Brothers, untuk menghasilkan filem-filem Melayu yang pertama. Ironinya, perwatakan Melayu yang dihasilkan P Ramlee terbit melalui industri filem multi-etnik yang kuat dipengaruhi penerbit Cina, pengarah India serta menjiwai jalan cerita Hollywood, India serta koleksi kisah-kisah fantasi Arabian Nights.

Dan saya rasa penggemblengan pengaruh luar dengan budaya tempatan inilah yang dapat menzahirkan jambatan antara alam fantasi yang direka dengan realiti masyarakat tempatan. Apabila dilihat Ali Baba Bujang Lapok yang makan belacan Pulau Pinang, secara langsung watak fantasi itu menjadi relevan dan tidak asing kepada kita.

P Ramlee juga mengungkapkan realiti sosial zamannya dengan teliti, khususnya melalui filem-filem yang dihasilkan semasa era Jalan Ampas (di mana terletaknya studio filem Melayu di Singapura) seperti filem-filem Bujang LapokIbu Mertuaku dan lain-lain lagi.  Antara contoh permasalahan sosial yang sering diketengahkan adalah seperti keperitan mencari kerja, hubungan antara keluarga, gejala samseng dan juga penularan masalah buta huruf di kalangan orang dewasa. Malah P Ramlee dengan halus memperlihatkan betapa pentingnya ilmu membaca dan menulis sehingga untuk belajar silat pun, Pendekar Mustar mengarahkan anak muridnya harus ke sekolah dahulu.

Barangkali citra Melayu yang kosmopolitan dalam filem beliau ini dihasilkan, secara sedar mahupun tidak, berdasarkan pengalaman hidup beliau sendiri semasa membesar di Pulau Pinang. Sesungguhnya Pulau Pinang pada ketika itu merupakan kota kosmopolitan yang menghimpunkan segala macam budaya.

Justeru, saya rasa bukan satu kebetulan mengapa pulau mutiara ini melahirkan ramai seniman dan budayawan besar. Selain P Ramlee, kita juga mempunyai Syed Sheikh al-Hadi (tokoh pencerahan & pencetakan), Datuk Ahmad Nawab (penggubah lagu), Nordin Ahmad (Hero filem klasik Melayu), Datuk Nordin Hassan dan Prof Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara).

Hadirin sekalian,

Saya bukan orangnya untuk membicarakan P Ramlee dengan lebih mendalam, tetapi saya yakin, sebagaimana saya, ramai antara kita di sini telah membesar bersama-sama karya beliau. Saya berharap forum pada malam ini yang membariskan ilmuan, seniman dan budayawan yang akrab dengan karya P Ramlee dapat memberi manfaat kepada semua dan membantu kita melihat dimensi Melayu yang lain.

Sekian, terima kasih.