Berita

DAP sediakan pusat jagaan kanak-kanak sepanjang kongres

KUALA LUMPUR, 12 DISEMBER: Pusat jagaan kanak-kanak  akan disediakan sepanjang dua hari Kongres Kebangsaan DAP kali ke-16 untuk kemudahan dan keselesaan perwakilan yang membawa bersama anak mereka.

Setiausaha Penganjur DAP, Teresa Kok berkata, pusat jagaan itu akan dikendalikan sekumpulan professional berpengalaman bertujuan agar perwakilan dapat memberi tumpuan sepenuhnya sepanjang kongres berlangsung.

beliau berkata, penyediaan pusat jagaan itu selaras dengan pendirian DAP yang mendesak agar kerajaan dan sektor swasta negara ini menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak bagi kakitangan mereka.

“Kemudahan berkenaan akan memberi peluang kepada ibu yang bekerja  untuk terus menyumbangkan kepakaran mereka tanpa perlu mengorbankan kerjaya diakibatkan kelemahan sistem jagaan kanak-kanak,” katanya.

Selain pusat jagaan kanak-kanak, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, kongres kali ini akan mengadakan satu majlis penghargaan untuk ahli yang menyertai parti sejak 1966 hingga 1977 atau menjadi ahli selama 35 tahun.

“Ini adalah satu majlis khas bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka selama membantu parti sehingga mencapai kedudukan yang baik,” katanya

Teresa berkata, “Ubah Dream Machine” kedua iaitu “The Bersih Ubah” akan dilancarkan pada 15 Disember ini mulai jam 7 malam diikuti dengan konsert khas Ubah di sekitar PISA.

Beliau juga mengalu-alukan kehadiran semua perwakilan dan orang awam ke majlis itu.

Kongres ini adalah pertama kali diaadakan di Pulau Pinang sejak 1991 dan dihadiri 2,576 perwakilan dari seluruh negara untuk membuat pemilihan pucuk pimpinan baru parti.- Roketkini.com