Berita

Transformasi cuma berjaya jika rakyat tukar kerajaan

KOTA KINABALU 13 DISEMBER: Satu harapan baru rakyat Malaysia adalah melakukan perubahan politik dengan menamatkan pemerintahan panjang Barisan Nasional (BN) yang dicemari pelbagai “janji kosong”, skandal, rasuah, kemelut ekonomi, politik dan sosial yang makin membarah.

Ahli Parlimen Seremban, John Fernandez berkata, BN mesti ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti kerana rakyat sudah bosan dengan parti yang paling lama memerintah itu.

Ketika berucap pada satu majlis anjuran Pejabat Ahli Parlimen Kota Kinabalu, baru-baru ini, John Fernandez berkata, hakikat itu sudah dibuktikan dalam keputusan PRU 2008 di mana hampir kebanyakan parti komponen BN ‘bungkus’.

“Pada pilihan raya itu, undi keseluruhan yang diperoleh BN cuma 51 peratus manakala parti komponen Pakatan Rakyat (PR) mendapat jumlah undi keseluruhan 49 peratus dan  hampir kepada kemenangan.”

“Sekarang kita ada kira-kira tiga juta pengundi baru, kebanyakan mereka berumur antara 21 dan 40 tahun dan 70 peratus daripada mereka adalah golongan muda,” katanya.

John berkata, berdasarkan analisisi yang dijalankan terhadap senario yang berlaku di negara ini sekarang, beliau optimis golongan muda akan memberi undi mereka kepada PR.

“Ada mandat pun BN tak berubah”-Kulasegaran

Majlis “Ubah! Tukar! Ini kalilah!” turut dihadiri Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran.

Beliau yang turut berucap mempertikai rayuan Najib agar rakyat memberi mandat penuh kepada BN pada pilihan raya umum kali ini.

Najib dalam satu wawancara bersama akhbar The Malay Mail menagih mandat baru daripada pengundi untuk mereformasikan BN.

“Pada fikiran saya kenyataan itu menggambarkan Najib sendiri mengakui dia gagal mentransformasikan UMNO dan jika dapat mandat besar sekali pun BN tetap tidak akan berubah,

“Persoalannya, adakah Najib benar-benar boleh mengubah UMNO walaupun diberi mandat penuh oleh rakyat,” tambahnya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP mengimbau kembali bagaimana mandat besar diberi kepada BN pada PRU 2004 tetapi tidak memberi sebarang impak kepada proses pendemokrasian atau transformasi di Malaysia.

“UMNO-BN masih tidak berubah dan masih dengan cara lama mereka menakut dan memecahbelahkan perpaduan rakyat, memainkan sentimen perkauman, agama, rasuah dan sebagainya. Perubahan sebenar bukan hanya menjaja perkataan transformasi tetapi ia akan terlaksana dengan hanya menubuhkan kerajaan baru di Putrajaya.” jelas Kula.

Berjuang demi kedaulatan Sabah dan Sarawak – Dr P Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy pula, berkata Malaysia, termasuk Sabah perlukan transformasi politik yang sebenar dan bersifat menyeluruh.

“Tranformasi Najib ternayata gagal. Dia cuma berjaya beri gula-gula kepada rakyat. Masalah pokok seperti rasuah dan sebagainya masih belum selesai. Keadaan di Malaysia semakin buruk akibat pelbagai skandal termasuk sumbangan politik RM40 juta kepada UMNO Sabah membabitkan Ketua Menteri Musa Aman,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Prai berkata, kerajaan BN juga mengabaikan rakyat ekonomi Sabah sedangkan Negeri Di Bawah Bayu itu kaya dengan hasil pengeluaran petroleum.

“Sebab itu jika PR memenangi PRU-13 dan mentadbir Putrajaya, reformasi terhadap pentadbiran kerajaan akan dilakukan dan menimbang pembayaran royalti petroleum sebanyak 20 peratus kepada  Sabah dan negeri pengeluar minyak lain, termasuk Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Sehubungan itu, Ramasamy berkata, kerajaan Persekutuan PR nanti akan mengkaji semula kedudukan Sabah dan Sarawak sepertimana perjanjian membentuk Persekutuan Malaysia.

“Ini bagi menjamin agar hak rakyat Sabah dan Sarawak terjamin dan mampu memperkukuhkan politik dan ekonominya dengan lebih mapan,” ujarnya -Roketkini.com