Berita

Masalah ‘rakyat’ tanpa kerakyatan serius, diskriminasi BN berterusan

KUALA LUMPUR, 13 DISEMBER: Kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini, memkasa DAP mendesak kerajaan tidak melengahkan pemberian hak kerakyatan kepada mereka yang lahir di negara ini.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berkata, sejumlah besar mereka tanpa ‘kerakyatan’ itu terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan majoritinya berketurunan India.

Katanya, disebabkan hak asas mereka dinafikan, ramai daripada mereka sukar mendapatkan pendidikan dan menganggur. Masalah itu mengakibatkan golongan itu terus terpinggir dan secara langsung wujudnya masyarakat “di bawah kelas”.

Kulasegaran membuat kenyataan itu sejurus selepas berjumpa dengan 30 rakyat tanpa kerakyatan negara ini di pejabat khidmat masyarakatnya, di sini, baru-baru ini.

Seorang daripada mereka yang ditemui dikenali sebagai Rada yang dilahirkan pada 1989 yang berpisah dengan ibu bapanya sejak kecil berkata, dokumen penting, termasuk Sijil Kelahiran dan maklumat bapanya sudah hilang.

“Rada diberi kad pengenalan hijau dan sudah beberapa kali memohon untuk mendapatkan MyKad tetapi permohonannya ditolak dan tidak dibenarkan belajar di sekolah kerajaan.

Kulasegaran yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, masalah itu juga menyebabkan mereka dinafikan daripada mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), KWSP, hak untuk mengundi padsa pilihan raya, mendapat rawatan kesihatan percuma dan pendidikan.

“Kini Rada sudah berkahwin dengan rakyat Malaysia dan mempunyai tiga anak. Status dalam sijil kelahiran anaknya ialah “bukan warganegara,” jelas Kulasegaran.

Kecewa dengan apa yang berlaku itu, menurut Kulasegaran, ramai lagi di luar sana yang menghadapi masalah sama.

“Kini kita digemparkan dengan pendedahan terbaru bahawa lebih 300,000 masyarakat India di negara ini tidak mempunyai kerakyatan.

“Jika pendedahan itu benar, ini bermakna Kerajaan BN gagal menjalankan tanggungjawabnya dan wajar dipersalahkan melakukan diskriminasi terhadap masyarakat India,” ujarnya.

Kenapa baru sekarang?

Pada Ahad lalu ketika berucap di Kongres MIC, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kementerian sumber Manusia mengesahkan hanya 9,000 orang yang tidak mempunyai kerakyatan dan 7,000 daripadanya sudah diberi kerakyatan.

“Yang menjadi persoalan, mengapa selepas 55 tahun baru kerajaan beriya-iya mengambil berat mengenai masalah itu, Adakah kerana mahu menunjukkan kebertanggungjawabannya sempena pilihan raya umum tidak lama lagi.

Menurutnya, ramai di kalangan mereka sudah mencecah usia lebih 60 dan 70 tahun, tetapi hak kerakyatan mereka masih dinafikan kerajaan BN. -Roketkini.com