Berita

Atasi segera kemerosotan sistem pendidikan supaya setanding negara maju – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 13 DISEMBER: Beranikah Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan sistem pendidikan negara lebih baik daripada Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman, sedangkan kajian Trends in International Mathematic and Science Study (TIMSS) 2011 menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh menjunam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Muhyiddin itu pada Mac lalu bahawa sistem pendidikan Malaysia lebih baik daripada US, UK dan Jerman adalah berdasarkan keputusan selektif daripada statistik World Economic Forum (WEF) Global Competitiveness Report’s.

Katanya, dakwaan Muhyiddin itu ternyata meleset selepas kajian terbaru TIMSS 2011 dikeluarkan yang menyatakan kedudukan Malaysia dalam Matematik jatuh daripada tempat ke-20 pada 2007 kepada ke-26 tahun lalu, manakala Sains jatuh daripada tempat ke-21 kepada tangga ke-32 dalam tempoh yang sama.

Skor purata Matematik juga jatuh daripada 474 pada 2007 kepada 440, dan skor purata Sains jatuh daripada 471 pada 2007 kepada 426 pada 2011.

Kejatuhan Kedudukan TIMM Malaysia dan skor purata dalam Sains dan Matematik, 2007 hingga 2011

Kedudukan Kedudukan 2007 Kedudukan 2011 Kejatuhan dalam kedudukan
Matematik 20 26 6
Sains 21 32 11
Skor Purata Skor Purata 2007 Skor Purata 2011 Kejatuhan dalam SKor Purata
Matematik 474 440 34
Sains 471 426 45

Katanya, sedangkan US dan UK masing-masing berada pada kedudukan ke-9 dan ke-10 dengan purata skor Matematik 509 dan 507 serta purata skor Sains sebanyak 533 bagi UK dan 525 bagi US,  meletakkan masing-masing pada kedudukan 9 dan 10.

Berikutan itu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mendesak Muhyiddin memberi penjelasan berhubung kejatuhan dalam TIMSS yang tidak boleh diterima serta menarik balik kenyataan sebelum ini bahawa sistem pendidikan Malaysia lebih baik daripada UK, US dan Jerman.

Semua orang mengetahui tahap pendidikan di Malaysia merosot teruk dan dalam Programme for International Student Assessment (PISA) pada 2009, yang membandingkan tahap pembacaan, matematik dan sains antarabangsa dalam kalangan pelajar berusia 15 tahun, sebanyak 44% pelajar Malaysia gagal mencapai tahap minimum pembacaan, 60% gagal mencapai tahap minimum untuk Matematik dan 43% mencapai tahaap minimum untuk Sains. Secara keseluruhan, kecekapan pelajar Malaysia berusia 15 tahun adalah 3 tahun di belakang purata antarabangsa.

Di Amerika Syarikat, rakyat mereka bimbang mengenai kecuraman fiskal yang boleh menyebabkan kemelesetan ekonomi dengan implikasi global, rakyat Malaysia sebagai tonggak negara menghadapi kecuraman bakat yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan melumpuhkan usaha mengubah diri menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, berasaskan pengetahuan negara membangun.

“Negara bukan sahaja menghadapi risiko ketinggalan dalam kalangan negara maju baru seperti Singapura dan Korea Selatan, malah turut ditinggal negara jiran seperti Indonesia dan Thailand,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Ahli Parlimen Bagan juga berkata, kita berharap Malaysia bukan sahaja yang terbaik dan cemerlang tetapi juga mewujudkan satu aras kenaikan berasaskan bakat serta tahap yang tinggi.

“Oleh itu, marilah kita memastikan sekolah dan universiti di negara ini menghasilkan yang terbaik dan cemerlang supaya anak-anak kita tidak ketinggalan tiga tahun ke belakang sebaliknya setanding dengan tahap antarabangsa.

“Keputusan terbaru TIMSS 2011 hanya mengesahkan kajian PISA 2009 bahawa pelajar Malaysia ketinggalan tiga tahun daripada purata antarabangsa dan separuh daripada pelajar tidak mempunyai kebolehan dan penguasaan ilmu sains dan matematik.

“Bagi membolehkan Malaysia berjaya berubah menjadi sebuah negara ekonomi membangun, syarat asas adalah penguasaan kukuh penting dalam sains dan teknologi dan Muhyiddin mesti merangka pelan krisis bagi menangani kemerosotan tahap pendidikan dalam sains dan matematik atau memusnahkan harapan Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, mempunyai nilai tambah dan pengetahuan intensif ekonomi,” katanya.-Roketkini.com