Berita

DAP, PR buktikan ramalan ahli nujum UMNO/BN salah

KUALA LUMPUR, 13 DISEMBER: DAP perlu buktikan bahawa ramalan ahli nujum UMNO/BN itu salah apabila mendakwa pelbagai senario buruk termasuk berulangnya rusuhan kaum 13 Mei, huru-hara dan negara akan muflis dalam tempoh tiga tahun jika Pakatan Rakyat (PR) memenangi PRU-13 dan mentadbir Putrajaya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini terbukti tidak berlaku rusuhan kaum dan negeri muflis selepas PR memerintah Pulau Pinang, Selangor, Kedah hampir lima tahun dan Kelantan sudah lebih 22 tahun.

Beliau berkata, jika pemerintahan PR begitu teruk, Datuk Seri Najib tidak perlu melalui dua tahun kesengsaraan menangguhkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kerana kurang yakin UMNO/BN akan memperolehi mandat baru untuk terus memerintah.

“Najib tidak perlu memilih jalan tidak mengikut perlembagaan dan tidak demokratik pada Februari 2009 apabila merampas kuasa kerajaan PR Perak, negeri yang dipilih rakyat sehingga rakyat bertekad akan mengembalikan kuasa pada PRU-13 nanti.

“Pemimpin dan propagandis UMNO/BN perlu diberitahu agar menghentikan ‘ramalan akhir zaman’ bohong demi rakyat jika mereka benar-benar cintakan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Kelantan yang diperintah oleh PAS lebih 22 tahun lalu, serta Pulau Pinang, Selangor dan Kedah yang diterajui PR masih belum muflis malah menunjukkan rekod urus tadbir yang lebih baik dan menegakkan kebajikan rakyat berbanding ketika negeri berkenaan diperintah oleh BN.

Beliau memberi jaminan Malaysia tidak akan muflis dalam tiga tahun diperintah PR, sebaliknya menetapkan perkembangan baru menuju kemakmuran dan keadilan yang lebih hebat, termasuk mengakhiri rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa kerana Malaysia akan ditadbir pemimpin yang mengutamakan kepentingan semua rakyat, bukanya kroni dan kepentingan diri.

“Tidak mungkin akan berulang rusuhan kaum seperti 13 Mei di dalam negara, jika ada kejadian tidak dijangka berlaku selepas PRU-13, kejadian itu bukanlah pertembungan antara orang Cina dan Melayu, tetapi antara Melayu dengan Melayu atau rakyat Malaysia dengan rakyat Malaysia dan kedua-duanya akan diketuai orang Melayu,” katanya..

Sehubungan itu, beliau meminta Najib bersedia ke depan dan memberi jaminan kepada negara bahawa kejadian sedemikian tidak akan berlaku, kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan UMNO/BN komited kepada matlamat menjadikan Malaysia “demokrasi terbaik dunia” – yang mestilah didahului dengan bermulanya sistem demokratik dua parti atau dua perikatan.

Beliau berkata, sejak menjadi Perdana Menteri, Najib seringkali dipetik menyebut “era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir”, akan tetapi ini juga janji yang paling kerap dilanggar.

“Sehingga sekarang, meskipun berulangkali disoal di dalam dan luar Parlimen, Najib masih menolak untuk berjanji secara terbuka bahawa beliau akan berpegang sepenuhnya kepada semangat “era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir” dan sekiranya keputusan 13 juta pengundi pada PRU-13 adalah perubahan kerajaan Persekutuan di Putrajaya, dia dan UMNO akan hormat keputusan itu dan memastikan peralihan kuasa secara aman kepada PR.

“Jika Najib benar-benar percaya bahawa “era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir”, dia sepatutnya mengarahkan semua pemimpin UMNO/BN menghentikan pelbagai ‘ramalan akhir zaman’ bohong demi negara dan rakyat serta hentikan semua politik pembohongan, kebencian dan menakut-nakutkan terhadap PR,” katanya..

Kit Siang berkata, mulai sekarang menjadi tugas pertama ahli DAP dengan sokongan Kongres Kebangsaan DAP ke-16 kepada kepimpinan Karpal-Guan Eng dalam kempen “100 Hari ke Putrajaya” membuktikan bahawa ahli nujum UMNO/BN salah.

Katanya, dalam “100 Hari ke Putrajaya”, DAP dan PR perlu mematah dan memaparkan kepalsuan semua ‘ramalan akhir zaman’ yang bohong serta keji yang dilontarkan propagandis UMNO/BN untuk menakut-nakutkan pengundi daripada melaksanakan hak dan tanggungjawab bersejarah untuk membawa perubahan kerajaan persekutuan pertama kali dalam sejarah negara.

“Memusnah dan paparkan kepalsuan ‘ramalan akhir zaman’ UMNO/BN itu bermula daripada Kongres Kebangsaan DAP ke-16 hujung minggu ini untuk menguburkan semua pembohongan dan penipuan yang disebar propagandis UMNO/BN di dalam cubaan memecahbelahkan kepimpinan kebangsaan DAP.-Roketkini.com