Berita

Pakatan mesti tumpu kepada kumpulan majoriti pengundi jalan tengah/sederhana untuk menang PRU13

KUALA LUMPUR, 13 DISEMBER: Pakatan Rakyat (PR) mesti mengelak daripada mengulangi kesilapan parti Republikan yang dua kali tewas pada pilihan raya Presiden Amerika kerana terlepas pandang terhadap pengundi jalan tengah atau sederhana.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, UMNO juga tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada undi orang Melayu di kawasan luar bandar untuk memenangi pilihan raya dengan mengabaikan kelas pertengahan berbilang kaum di bandar yang semakin berkembang.

Beliau berkongsi pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, yang telah mengingatkan  UMNO supaya tidak mengulangi kesilapan calon Presiden Republikan, Mitt Romney yang terlalu bergantung kepada undi golongan kulit putih dan orang tua untuk memenangi pilihan raya.

Katanya, Romney yang memenangi majoriti undi orang kulit putih telah gagal menembusi walaupun 30 peratus mana-mana kumpulan minoriti berbanding Obama.

“Romney hanya dapat meraih majoriti undi mereka berusia 65 tahun ke atas, tetapi gagal pada kumpulan umur 30-44 tahun dan 18-29 tahun. Manakala Obama menewaskan Romney di kalangan yang berideologi sederhana.

“Romney mengulangi perkara sama. Keputusan lebih kurang sama pernah dicapai McCain pada pilihan raya Presiden 2008. McCain memenangi undi majoriti golongan kulit putih berbanding Obama, tetapi kehilangan undi golongan Afrika Amerika, Latino dan Asia Amerika.

“Kedua-dua calon Republikan itu terpaksa merayu kepada penyokong konservertifnya, kebanyakannya pengundi kulit putih dan orang tua bagi memenangi pilihan raya, tetapi masing-masing tidak dapat meluaskan rayuan untuk mencapai bilangan pengundi sederhana mencukupi termasuk golongan minoriti untuk memenangi jawatan Presiden Amerika,” ujarnya.

Kit Siang bagaimanapun menyatakan bahawa nasihat Najib kepada UMNO mungkin ibarat mencurah air di daun keladi kerana ahli UMNO tidak peduli manakala Najib sendiri tidak ada kesungguhan politik.

Katanya, Najib sendiri bermain politik kaum dengan mengulangi semula DEB ke dalam Model Ekonomi Baru (MEB) selepas ditekan oleh kumpulan ultra kaum Perkasa.

Menurutnya, Najib juga samada secara langsung atau tidak langsung mengarahkan Utusan Malaysia mencipta suasana ketakutan di kalangan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan hak jika PR memerintah dan membuat pembohongan yang bersifat menghasut mengenai bagaimana DAP mahu menukar negara ini menjadi negara Kristian.

“Ini bermakna Perdana Menteri tidak ikhlas cuba memujuk pengundi jalan tengah atau sederhana,” ujarnya..

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula setakat ini belum memberi sokongan penuh terhadap slogan 1Malaysia Najib sepertimana kenyataannya di Parlimen bahawa beliau adalah Melayu dahulu dan kemudian baru rakyat Malaysia.

“Ini bermakman Muhyiddin menyimpan niat untuk menggantikan Najib sebagai Presiden UMNO dengan cuba menjadi lebih ‘Melayu’ daripada Najib. Sememangnya, ramai di dalam UMNO menanti untuk melihat Najib jatuh lebih teruk daripada Pak Lah pada PRU-13 nanti supaya dia boleh menjadi Perdana Menteri yang ‘Mendahulukan Melayu”,” tambah beliau.

Katanya, tindakan keras dan ganas pentadbiran Najib terhadap orang ramai yang menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur menunjukkan Najib tidak peduli terhadap pengundi jalan tengah atau sederhana yang mahu melihat pilihan raya lebih bersih dan adil, tanpa mengira parti mana yang berkuasa.

“Mana-mana parti atau pemimpin dalam PR tidak boleh meminggirkan pengundi jalan tengah atau sederhana sekiranya mereka memilih untuk memuaskan hati mana-mana kumpulan kecil tetapi lantang yang hanya mewakili segmen kecil masyarakat.

“Usaha menyatukan penyokong kuat tidak akan memenangi banyak undi tetapi kemungkinan besar akan memencil dan mengalihkan 3 juta pengundi baru di dalam daftar pemilih, 60% adalah di bawah umur 30 tahun.

“Sebaiknya, Pakatan perlu bergerak seiring mendekati pengundi jalan tengah atau sederhana untuk memenangi 70% daripada 3 juta pengundi baru dan 3% daripada satu juta pengudi bertukar arah PRU 2008 supaya dapat menawan Putrajaya dengan majoriti selesa sekurang-kurangnya tujuh kerusi Parlimen,” ujarnya.

Menurutnya, hanya dengan mendekati golongan pengundi sederhana dengan penyelesaian kukuh dan berwibawa barulah PR boleh mencapai matlamatnya menawan Putrajaya.

“Sebaliknya, jika PR mengulangi kesilapan BN dan parti Republikan dengan hanya mendekati penyokong kuat kita dari segi pengundi, maka kita hanya akan memberi undi itu secara percuma kepada BN (bukannya BN yang memenangi undi itu daripada kita).

“Sekiranya PR kehilangan 3 juta pengundi baru dengan majoriti kecil (48% kepada 52%) dan hanya tewas 1% pengundi bertukar arah PRU 2008 yang berjumlah satu juta, kita akan memberi semula majoriti dua pertiga Parlimen kepada BN. Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan pengundi jalan tengah atau sederhana,” tambahnya. – Roketkini.com