Berita

Isu anugerah lesen jalur lebar: Alasan SKMM tidak masuk akal-Tony Pua

KUALA LUMPUR, 13 DISEMBER: DAP menganggap alasan diberi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai penganugerahan lesen 4G-LTE kepada syarikat Puncak Semangat Sdn Bhd, milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai lemah dan tidak masuk akal.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, jika semua lapan syarikat pengusaha jalur lebar itu tidak bersaing dengan berinovasi, ini bermakna SKMM bertanggungjawab jika berlaku “pakatan sulit” di antara mereka.

Menurutnya, mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia, SKMM adalah pihak berkuasa yang bertanggungjawab menggalakkan persaingan dan menghalang sebarang pakatan sulit di kalangan pengusaha telekomunikasi.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, keputusan SKMM tidak mengadakan bidaan bagi mendapatkan lesen jalur lebar adalah bertentangan dengan amalan terbaik antarabangsa.

“Tindakan itu menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan dan pada masa yang sama menggagalkan usaha mempromosi industri telekomunikasi dengan persaingan yang kompetitif.

“United Kingdom, Jerman dan Sweden malah Thailand sendiri malaksanakan proses bidaan dan berjaya menjana pendapatan berbillion ringgit. Manakala Singapura, Taiwan dan Brazil merancang melaksanakan proses itu mulai tahun depan,” katanya.

SKMM tidak ikut amalan antarabangsa

Dengan memberi contoh negara membangun lain, Pua menjelaskan bahawa lapan pengusaha sedia ada di Malaysia sudah memadai untuk mencipta persekitaran saingan yang kompetitif.

“SKMM sepatutnya membenarkan pasaran menentukan siapakah yang menjadi juara dan memberi fokus kepada peranannya menghalang sebarang “pakatan sulit” dalam industri berkenaan,

“Jika tidak, ia menunjukkan SKMM seolah-olah sengaja bertindak sebagai “tuhan” menentukan syarikat mana yang perlu diberi untung lebih dan menafikan kepentingan jutaan pengguna telekomunikasi di Malaysia.” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi SKMM, Datuk Mohd Sharil Tarmizi berkata, anugerah kepada syarikat itu adalah “pengenalan kepada persaingan tambahan.”

“Sekiranya kita (SKMM) meninggalkan semua lapan pengusaha (jalur lebar) bersendirian, bagaimana inovasi dan aplikasi akan berlaku,” katanya.

DAP mempertikai tindakan SKMM menganugerahkan lesen dan kuota kepada syarikat kroni sedangkan ia tidak mempunyai sebarang rekod dalam industri berkaitan dan kedudukan kewangan syarikat itu. – Roketkini.com