Berita

Maksimum potensi wanita elak hijrah ke luar negara

GEORGE TOWN, 15 DISEMBER:  Ketidakcekapan penggunaan sumber tenaga profesional dalam negara mengakibatkan ramai tenaga kerja berbakat dan profesional berhijrah ke luar negara.

Timbalan Pengerusi DAP Wanita Perak, Shasha Veraiah, berkata penghijrahan ini juga membabitkan sejumlah besar golongan wanita.

“Kini lebih ramai bilangan wanita daripada lelaki melanjutkan pelajaran ke universiti dan mempunyai kelayakan profesional,

“Untuk mengelak lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya wanita berhijrah ialah dengan memberikan mereka peranan yang signifikan dalam  membangunkan ekonomi negara,” katanya.

Dalam perbahasan pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16, semalam, beliau berkata Agenda Wanita Malaysia (AWM) Pakatan Rakyat sudah dirangka agar golongan wanita lebih terbela dan diberi peluang sewajarnya.

“Antaranya mensasarkan peningkatan kadar guna tenaga wanita mahir dan separa mahir daripada 46 peratus kepada 60 peratus melalui pendidikan dan latihan modal insan wanita.

“Kita melihat dengan penubuhan agensi hak sama rata dalam pekerjaan yang bertujuan mengatasi isu gaji, peluang setara dan pelbagai isu yang berkaitan, masalah ini boleh diselesaikan,” katanya.

Selain menubuhkan Institut Latihan Kepimpinan Wanita, ia juga bakal menyemak dan menerapkan falsafah hormat wanita dan peka gender dalam agenda pendidikan negara dan sebagainya.

“Dengan cara itu golongan wanita tidak lagi akan merasa diri mereka terpinggir dan dapat memberi sumbangan yang lebih besar kepada negara,” katanya. – Roketkini.com