Berita

Perwakilan usul “Satu Calon Satu Kerusi”

GEORGE TOWN, 16 DISEMBER: Setiausaha Publisiti DAP Negeri Sabah, Chan Foong Hin yakin prinsip “Satu Calon Satu Kerusi” boleh dilaksanakan DAP menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Katanya, ia boleh dilaksanakan kerana semakin ramai Orang Asal Sabah menyertai dan menjadi pemimpin parti di peringkat akar umbi.

“Bagi saya, jika cadangan “Satu Calon Satu Kerusi” dikecualikan daripada Sabah dan Sarawak, ia merupakan satu pandangan yang kurang sesuai,

“Seolah-olah cuma Sabah dan Sarawak kekurangan pemimpin berkaliber untuk menawan kerusi,” kata Foong ketika perbahasan pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16.

Justeru itu, katanya, perlaksanaan cadangan ini harus mengikut keadaan, terutama apabila timbul keperluan strategik untuk menentukan jumlah kerusi yang dapat dimenangi pada PRU-13 nanti.

“Keperluan strategik parti tidak boleh dilihat dari segi perbezaan geografi. Cadangan satu calon satu kerusi perlu dikaji dari segi taktik untuk menawan Putrajaya,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan parti berhati-hati membincangkan perkara itu memandangkan ia satu daripada isu yang sering dimainkan media arus perdana yang boleh menggoyahkan Pakatan Rakyat (PR).

“Kita mesti bekerja keras bukan sahaja untuk menawan kawasan bandar yang merupakan kubu tradisional parti kita, tetapi kita juga ingin mengkibarkan bendera serta logo “Roket” di kawasan kampung dan pedalaman,” ujarnya. -Roketkini.com